Friday 4 December 2015

Tawar Hati


Bagaikan lagu yang diputarkan berulang kali di radio, tentu jemu pendengar mendengarnya. Bergitulah aku, jemu, penat dan bosan menjalani jalan cerita yang seakan berulang berkali-kali. Setiap pertemuan berakhir dengan cara yang seakan tiada berbeza. Aku seolah sudah tahu bagaimana setiap jalan ceritaku akan berakhir. Ia akan tamat dengan cara yang sama setiap kali aku mula mengenali  orang yang baru. Namun aku menidakkan perasaan itu atas alasan bahawa gadis itu istimewa dan mungkin aku harus mengambil peluang itu. Siapa tahu kalau dialah jodoh yang sudah tercatat untukku.
Setiap permulaan akan bermula dengan indah. Semuanya kelihatan sempurna tanpa sedikit pun cacat celanya. Kesempurnaan jalan ceritapada setiap permulaan membuat aku lebih yakin tentang keputusan yang aku sedang melangkahkan itu. Namun setiap kali muncul masalah, mungkin ujian dalam sebuah percintaan, jalan cerita kami kian berubah arah. Dari situ aku mula merasakan sesalan. Namun aku cuba terus kuat untuk menyelamatkan keadaan. Aku tidak pernah putus asa apatah lagi terlintas untuk mengakhiri semuanya. Aku tidak pernah meninggalkan, tetapi sebaliknya. Aku yang sering ditinggalkan.
Setiap kali aku memberi peluang kepada diriku, setiap kali itu lah aku dikecewakan. Hatiku dihancurkan dan setiap kali itu jugalah aku perlu belajar untuk berdiri semula dengan kakiku yang terasa seakan sudah lumpuh. Ya, bergitu teruk sekali yang aku rasakan. Cuba engkau bayangkan, setiap kali engkau mengenali seseorang, mula jatuh cinta, kemudian ditinggalkan. Dilontarkan setelah mereka menjumpakan seseorang yang baru. Mungkin lebih baik dari diri engkau sendiri. Tentu sedih, pedih, perit, berat untuk menerima bahawa tempat kau sudah diambil, sudah diganti, dan engkau tidak diperlukan lagi.
Bergitulah jalan cerita aku setiap kali aku cuba untuk mendekati seorang gadis untuk mengenali dirinya lebih jauh dan mengenali hatinya. Sering kali mereka memberiku peluang untuk berbicara tentang hati. Kami akan berkongsi kisah masing masing. Sering kali terjadi, aku dapati nasib mereka serupa seperti aku. Selalu dipinggirkan. Kemudian, aku akan merasakan keserasian kerana sedari bahawa banyak persaan diantara kami. Melalui perbualan itu, mereka akan membuat aku jatuh cinta tanpa mereka menyedari.
Ini biasanya berlaku apabila kami sering berbual hampir setiap hari. Aku akan semakin rindu bila tidak dapat berbual dengan seseorang itu. Ya, mungkin di sini juga silap aku. Namun, perasaan itu tidak dapat aku mengawal. Perasaan yang hadir tanpa diundang, tiada siapa yang dapat menghalangnya. Hanya yang mampu kita buat adalah cuba untuk membuang dan menghentikan perasaan itu dari terus menguasai hati, minda dan jiwa kita. Jangan biarkan ia terus hanyut.
 Namun, hanya tunggu waktu sehingga mereka  jemu dengan peribadi aku yang kurang menarik. Mungkin juga itu bukan silap mereka. Tetapi janganlah dijadikan perkara itu sebagai satu alasan untuk memainkan hati dan perasaan orang. Aku juga manusia seperti kamu dan mereka yang mempunyai sekeping hati dan perasaan. Janganlah anggap aku sebagai boneka yang boleh dipermainkan. Ambil untuk bermain dikala sunyi dan kemudian dicampakkan ketepi bila sudah puas dan bosan dengannya.
Aku tidak menafikan bahawa ada sesetengah dari kalangan mereka yang tidak serius dalam bercinta. Namun jangan menilai seseorang itu dari rupa dan cara dia yang belum tentu engkau berjaya meneka dengan betul. Berilah peluang. Mungkin dia tidak setampan, sesegak atau semacho jejaka idaman engkau. Tetapi siapa tahu kalau dia mampu membahagiakan engkau lebih daripada jejaka idaman yang selalu engkau impikan itu. Percayalah bila aku katakan lelaki jenis yang montel, tidak berapa macho inilah yang berlebih kemungkinan akan setia, sayangi engkau bagai puteri. Lebih lagi kalau dia sering dikecewakan. Kenapa aku cakap macam itu? Kerana bila seseorang itu dikecewakan, dia akan tahu apa rasanya dan dia tidak sama sekali akan mengecewakan orang yang sudah tentu disayangi. Luka pada tubuh boleh nampak berdarah, tapi luka di hati, siapalah yang tahu?  Orang jenis inilah yang lebih tahu nilai setia dan lebih menghargainya.  
Pada yang sudah melalui hal ini  berkali kali, mereka sebenarnya  penat dan bosan dengan jalan cerita itu. Tetapi mereka terus berusaha. Bukannya mereka terlalu terdesak untuk memiliki cinta suci yang abadi, tetapi seperti manusia lain, mereka juga ini merasa diri dicinta dan dihargai.  Mana mungkin kita bertahan hidup dalam bersendirian? Justeru itu, bila mereka jumpa dengan seseorang yang baru selepas semua kekecewaan yang pernah dilalui, mereka mahukan persahabatan, dan kemudian percintaan itu berkekalan, menjadi yang terakhir dan kekal sepanjang hayat hingga ke jenjang pelamin.  Percayalah bila aku katakan.
Sebenarnya inilah cerita aku. Aku menulisnya setelah semalaman menangisi tentang apa yang aku lalui sehingga terbawa bawa ke waktu pejabat. Hingaa saat ini, masih sayu dan pilu hati ini mengenangkan setiap pertemuan yang berakhir dengan perpisahan. Aku tertanya dimana silap aku, apakah dosaku sehingga aku ditimpa cobaan bertubi tubi. Mungkin tuhan merindui rintihan hatiku. Aku akui sudah terpesong jauh dari jalan kebenaran. Aku lalai dalam menjalankan tanggungjawab aku sebagai seorang muslim.
Mungkin itulah kesilapan yang paling kuat menyumbang kepada punca mengapa aku diberi ujian sehebat ini. Hatiku tidak tenteram menjalani setiap hari hariku. Setiap saat, mindaku akan terisi dengan pelbagai persoalan tentang kebahagiaan, tentang kebenaran, jodoh. Aku tahu masih terlalu awal dan usiaku masih muda. Masih jauh perjalan yang harus aku menempuhi dalam hidup ini. Masih lagi aku ingat pada pesanan oleh seorang gadis yang pernah aku mencintai pada suatu ketika dahulu sebelum kami berpisah. Katanya “jangan sesekali meletakkan kebahgiaan diri sendiri diatas tangan orang lain”. Bererti, janganlah mengharapkan orang lain untuk membawa dan member bahagia untukmu, tetapi carilah  kebahagiaan dalam dirimu dan duniamu sendiri. Kerana dengan cara itu, engkau tidak akan pernah rasa sekecewa yang sedang aku alami yang berterusan ini.
Kata katanya sungguh benar. Namun aku sudah terbiasa dengan mencari seseorang untuk berkongsi segalanya, masalah, cerita. Aku sudah biasa mempunyai teman untuk berbual. Aku tidak boleh dibiarkan bersendirian untuk terlalu lama jika tidak, inilah akibatnya. Aku akan dihanyutkan oleh ombak pemikiran negatifku sendiri. Kemudian aku akan rasa hampa, sedih, hancur, sayu, pilu kemudian mulalah aku menangis tidak tentu pasal.
Aku seorang lelaki, aku sepatutnya lebih kuat dari ini. Tapi ketahuilah jika seseorang lelaki itu mula menitiskan airmata duka, lelaki itu sebenarnya mempunyai hati yang lembut, penyayang dan lebih kemungkinan, dia tidak akan sesekali menyakiti hati orang yang disayangi.  Disebabkan itu aku bertekad untuk membina diri ini supaya akan lebih menjadi kuat untuk menghadapi apa jua cabaran yang akan datang di masa akan datang.
Aku sedar bahawa cabarannya akan menjadi lebih mencabar di masa akan datang. Aku juga sedar bahawa hidup tidak pernah menjanjikan bahagia atau apa apa sekalipun. Maka itu, aku harus membina diri. Pernah juga terlintas di fikiranku untuk menjadi “playboy” kerana mungkin dengan cara itu dan terubat luka dan akan puas hati ini melihat mereka rasa apa yang pernah aku rasa. Namun kuasa tuhan tidak mengizinkan. Aku dijadikan dengan sekeping hati yang lembut seperti aku terangkan tadi. Tidak sampai hati aku untuk melakukan semua itu. Mungkin kerana hati lembut ini jugalah, aku selalu mengalah dan kemudian disakiti.
Lebih lagi, aku tidak mahu jadikan mereka yang langsung tidak bersalah menanggung kesalahan yang dilakukan oleh orang lain. Seperti ramai gadis diluar sana yang sering mengungkapkan bahawa semua lelaki serupa. Padahal kata kata itu tidak benar. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Aku tidak pernah samakan mereka yang telah menghancurkan aku dengan gadis gadis diluar sana. Pada aku, setiap insan punya nilai keistimewaan yang tersendiri. Rambut sama hitam, hati lain lain.
Tidak pernah aku merasakan diri dihargai. Aku tidak tahu bila aku akan dapat merasa bahagia bersama orang yang bernama kekasih. Entah dapat atau tidak aku merasakan semuanya. Setelah apa yang aku lalui, kali ini hati semakin kuat menyatakan cukup sampai disini aku disakiti. Biar aku menutup rapi pintu hatiku supaya tiada sesiapa yang dapat menyentuh apa lagi menikam, menghiris, guris atau mengapa apakannya sekalipun. Biarlah aku berserah pada illahi dan biar ketentuan Allah untuk menentukan jodoh untukku bila tiba waktunya nanti.
Buat masa ini, sudah tawar hatiku untuk mencari cinta.

Tercatat pada 1 Disember 2015.
Oleh: Hati Perindu

No comments:

Post a Comment