Thursday 21 April 2016

Setelah kurang lebih tiga bulan, hari ini aku memutuskan untuk menulis sedikit tentang apa yang telah aku lalui sepanjang tempoh waktu itu. Tamat sudah zaman persekolahan bagi aku dan aku hanya menanti saat dijemput untuk menghadap fasa seterusnya dalam kehidupan. Sebagai seorang warga Singapura, aku kini menunggu saat untuk berkhidmat kepada negara. Selain itu, aku hanya bekerja sambilan untuk memenuhi masa lapang yang aku ada disamping mengumpul sedikit wang.

Tentang dunia percintaan aku pula, seperti selalunya. Setelah aku menaruh hati dan perasaanku terhadap seseorang, dia mula jauhkan diri dariku dan sudah aku jangka, tidak berapa lama kemudian, dia sudahpun menjadi milik orang. Aku tidak mahu bertanya kenapa nasibku sering berlaku sedemikian. Aku tahu dan sedar bahawa tuhan sudahpun mengatur perjalanan yang bakal aku tempuhi dalam hidup ini dan dia jugalah yang maha berkuasa dan maha tahu apa yang terbaik untuk aku.

Kali ini, tidaklah aku bergitu kecewa. Mungkin kerana aku sudah dapat meneka dari awal bahawa si dia itu tidak berminat untuk melanjutkan lagi hubungan kami. Tapi sedikit sebanyak aku boleh tersenyum kerana sekurang-kurangnya aku menjadi batu loncatannya untuk bangkit dari kekecewaan cinta masa lalunya. Hari ini, aku melihatnya bahagia dengan kekasihnya. Dia juga sudah pergi jauh dari sini. Semoga dia bahagia dan akan aku padamkan segala cerita dan angan-anganku untuk bersama dengannya.

Seorang lagi gadis yang aku kenal melalui rakan sekerja yang akhirnya menjadi kawanku. Kami tidak pernah bersua muka namun mesra berbual melalui pesanan ringkas. Dia pernah menjadi tempat aku mengadu, dialah teman yang akan aku ceritakan segala masalah. Dia pendengar yang setia dan juga seorang yang memberi nasihat yang baik. Namun baru-baru ini apabila aku bercerita tentang perasaan aku pada seseorang yang aku mula jatuh hati kepada, aku dapat merasakan seolah perlahan-lahan, dia mula menarik diri dan cuba untuk menjauhkan diri daripada aku.

Apa kesilapan aku sehingga dia ingin membuat sedemikian? Mungkinkan dia menaruh perasaan pada aku? Jika itulah sebabnya, aku harap dia dapat memaafkan aku kerana aku tidak dapat untuk terima ataupun membalas perasaan itu. Lebih lagi aku anggap dia hanya sebagai seorang kawan.
Dan kepada dia yang aku mula jatuh hati itu. Sebenarnya kami sudah berkawan lebih kurang selama sembilan tahun. Tetapi hanya sebagai kawan biasa. Dahulu, jarang sekali aku akan berbual dengannya. Tetapi entah kenapa setelah aku dapat tahu dia sudah putus dengan kekasihnya, hatiku mula tergerak untuk mengenalinya lebih lagi. 

Aku mula menegurnya di laman social dan lama kelamaan, pesanan ringkas melalui telefon bimbit dan hari ini aku rasa kami semakin rapat walaupun aku masih lagi merasa janggal bila berhadapan dengannya, aku jatuh dan terus jatuh hati kepadanya.
Entahlah, kerana kami kawan, aku rasa janggal. Tidakkah engkau merasa janggal apabila jatuh cinta pada temanmu sendiri? Apa pula kata kawan-kawanmu yang lain jikalau mereka mendapat tahu? Tentu rasa janggal, malu. Selama aku mula merapatkan diri dengannya, aku sedar beberapa perkara yang mungkin dia tidak dapat terima tentang aku. Dia kecoh, aku pendiam. Aku “clingy” dan dia tidak suka orang yang “clingy”. Dalam masa yang akan datang, entah apa lagi yang akan aku pelajari tentang dirinya.

Yang pasti, aku sudah mula jatuh hati padanya. Kawanku.  Bila sehari tidak dengar suara, bila lama tidak berjumpa akan mula rasa rindu. Kenapa aku rindu dia? Aku memang jenis yang mudah rasa rindu. Cuma yang aku takut, jika semua yang aku rasa ini hanya aku sahaja yang rasa. Perjalanan kami masih jauh walaupun usia kami berkawan sudah lama, baru sekarang aku mula mengenali isi hatinya. Aku berserah. Semoga tidak akan ada antara kami yang akan kecewa.


Diari Hati Perindu