Wednesday 9 December 2015

Bukan Adat Berkawan


Bermacam jenis manusia, bermacam perangai. Kalau baik, baiklah hati budinya. Kalau jahat, jahatlah. Tetapi ada juga manusia yang bertalam dua muka. Bila berdepanan, berbual seolah pijak semut  tidak mati. Tapi bila di belakang, bermacam dia menghina, mencaci, mengutuk tentang diri engkau. Manusia jenis ini, sungguh, memang tidak gentle.  Memang tidak layak dianggap sebagai seorang kawan.
Manusia jenis talam dua muka, kami tidak akan tahu sehingga kita dengar sendiri khabar angin ataupun perkara buruk tentang diri kami yang diperbualkan oleh orang lain. Kami akan bertanya pada diri sendiri di manakah sumber semua khabar itu. Kami tidak akan senang selagi tidak menjumpai puncanya. Bodohlah kalau mereka berfikir dengan cara mereka berbual di belakang kami, berita itu tidak akan sampai ke pengetahuan kami. Dan bodoh lagi bagi mereka yang suka mendengar dan turut gelak bersama setelah mendengarkan cerita si talam dua muka itu.
Biasanya mereka  antara teman-teman kami sendiri. Entahlah, tergamak mereka bersikap sedemikian. Apalah dosa kami terhadap mereka? Tidakkah mereka sedar, yang sedang mereka mengumpatkan itu adalah teman mereka sendiri? Tidakkah mereka sedar, bahawa lambat laun, umpatan mereka itu pasti akan sampai ke telinga orang yang mereka umpatkan itu? Tidakkah mereka sedar apa yang mereka mengumpatkan tentang kami akan mengguris perasaan kami?
Munafik. Ini bukanlah adat berkawan. Sebagai seorang kawan, kami sepatutnya saling bantu-membantu. Meyakinkan disaat teman kami kurang keyakinan diri. Bukan mengata, mencaci, menghina dan menjatuhkan lagi keyakinan dirinya yang hampir tiada dan hapus kerana kegelisahnnya yang sudah lama diketahui itu.
 Selama aku berkawan dengan mereka, tidak pernah aku melukakan hati dan perasaan mereka. Sekiranya ada, aku tidak berniat langsung. Aku hanya bergurau. Lagipun, apalah sangat guarauan aku dibandingkan dengan hinaan mereka terhadap aku. Bertubi-tubi aku diperkenakan, kalau hendak dibandingkan dengan gurauan aku terhadap diri mereka. Mereka menghina dan mengumpatkan tentang sesuatu yang telah lama menjadi punca kegelisahan aku.
Tahukah engkau aku sedih mendengar semuanya? Sedarkah engkau bahawa engkau telah melukakan perasaanku. Tiada tempat lain untuk aku mengadukan, tetapi tidak sangka pula akan jadi bergini bila aku mengadukan kepada mereka. Mereka tidak layak  mengetahui segalanya tentang diriku. Aku menyesal kerena mempercayai mereka sepenuhnya. Aku menyesal kerana menganggap mereka semua sudah cukup dewasa untuk memahami kegelisahanku itu.  Aku sangkakan mereka ikhlas mendengar rintihan aku yang sedang gelisah. Namun aku silap.
Yang aku mampu lakukan sekarang adalah untuk menebalkan muka, memekakkan telinga, mengebalkan hati, dan membendung airmata kegelisahan ini dari terus membasahi pipi di hadapan mereka yang sungguh tidak mempunyai hati perut. Aku hanya mampu terdiam dikala ditanyakan mengapa? Apa yang menjadi punca kegelisahanku ini. Tidak mampu aku mengungkapkan. Aku hanya mampu mengukirkan senyum palsu sedang hati ku menangis kesedihan.
Percayalah mempunyai perasaan gelisah itu sama sekali tidak menenangkan hati. Malahan ia memakan hati dan percayalah bila aku katakan, orang yang melaluinya kerna suasana dan orang sekelilingnya akan merasakan tekanan yang teramat sangat. Cuba bayangkan, setiap dari mereka disekeliling memanggil kau “hodoh”. Tentu suatu hari nanti engkau akan mula membenci diri engkau sendiri dan tentu engkau akan rasa tertekan. Jadi mengapa harus kau mengata tentang orang lain? Tekanan seseorang itu boleh memudaratkan buat sesetengah individu. Mereka akan bermurungan dan mungkin terdorong kepada melakukan perkara negatif.
Mungkin nanti engkau juga  akan mengalami apa yang aku alami. Rasa tertekan, sedih, murung, kerana orang mengata tentang sesuatu yang telah menjadi kegelisahan engkau.  Mungkin di ketika itu kau akan kenang semula apa yang pernah kau katakan pada diri yang lemah dan sudah puas dicaci oleh engkau sendiri. Marah? Aku tidak marah, biarlah mereka kata apapun yang mereka inginkan. “Mulut orang, perosak  reputasi, pembunuh motivasi, mereka pakar fabrikasi, modifikasi.” Apa yang aku rasakan sekarang ada lah sedih. Sedih kerana mereka adalah temanku sendiri. Teman ke kalau suka mengata, suka mengumpat tentang diri kami?
Teman berketawa, boleh dicari di mana-mana sahaja. Tetapi teman sewaktu kami berduka, susah untuk dicari. Jadi manusia tu, janganlah jadi talam dua muka. Tidak perlulah engkau nak mengata tentang orang lain. Kau tidak tahu apa yang mereka sedang lalui. Mereka tidak mintak pun semua itu. Orang cakap ada pergi, ada balik. Kifarah. Ingatlah wahai teman-temanku, pernah ke aku mempersendakan kau? Pernah ke aku tidak menolong dikala engkau perlukan pertolongan dari aku?
Mengapa ini yang mereka membalaskan kepada aku? Sungguh tidak pernah terlintas di fikiran aku bahawa mereka akan menjadi seperti ini. Lebih baik aku berahsia sehingga mati. Mereka telah mengajar aku bahawa tiada seorang pun dipercayai. Hilang sudah musnah sudah kepercayaan aku kepada sesiapa sekalipun. Selepas ini , biarlah aku merahsiakan segalanya. Tiada sesiapa yang layak untuk mengetahui cerita aku.

*Jangan sesekali kita menilai seseorang kalau kita sendiri tidak pernah melalui apa yang dia lalui.*


Diari Hati Perindu

No comments:

Post a Comment