Saturday 5 November 2016

Takdir kekadang mempertemukan kita dengan sesuatu yang tidak diundang.Memberi apa yang tidak dirancang. Memaksa kita mengalirkan air mata kesedihan dan membuat kita rasa kehilangan. Namun, takdir juga menerpa kita dengan erti perkenalan, menyulam erti kasih sayang, menanam erti persahabatan ,menghadiahkan kemanisan dalam kegembiraan, menyemai benih keakraban. Serta memberi peluang menilai siapa sahabat, siapa kawan dan siapa kenalan yang sekadar mengisi ruang dalam episod kehidupan.

Sunday 11 September 2016

Budak Gemuk

Hari ini sudah hampir sebulan perjalanan aku dalam perkhidmatan negara (NS, national service). Aku diantara mereka yang tergolong dalam golongan mereka yang gemuk, pes BP. Kami diarahkan untuk mengurangkan berat badan untuk menjadi lebih sihat. Setiap hari kami akan melakukan senaman, tetapi lebih dari mereka yang lain. Sejauh ini aku baru mengurangkan sebanyak tujuh kilogram. Setiap hujung minggu aku akan kebingungan kerana tidak tahu apa yang harus aku makan. Apabila keluar bersama rakan-rakan, aku hanya mampu melihat mereka menjamu selera. Setidak-tidaknya hanya minum secawan atau segelas air. Sungguh payah untuk individu seperti aku yang sebelum ini sungguh gemar memakan. Namun aku cuba untuk mengawal keinginanku. Jujur, sedih bila kau inginkan sesuatu tetapi kau tahu itu hanya akan memudaratkan. Hanya mereka yang melalui situasi serupa seperti inilah yang akan mengerti apa yang aku maksudkan. Hari ini Hari Raya Haji, tetapi aku harus pulang ke tempat latihan petang nanti. Makanya semalam aku telah ke rumah nenekku. Nenekku telah memasak beberapa lauk dan lontong sempana hari raya haji. Setibanya di rumah nenekku, aku tersenyum melihat hidangan di atas meja. Sungguh gembira kerana bukannya selalu aku berpeluang untuk makan makanan seperti ini. Apabila semua sudah mengambil tempat masing-masing, kami pun mula menjamu selera. Dimulakan dengan beberapa keping lontong, aku menjamah sambal goreng, udang sambal dan rendang. Pada mulanya aku tersenyum sambil menjamu selera. Namun akhirnya senyumanku menjadi hambar bila terkenang. Aku terkenangkan sewaktu berada di pusat latihan sepanjang lima hari seminggu. Di sana, hidangan yang dihidangkan tawar hebeh dan tiada selera melihat, apalagi untuk dimakan. Hakikat itulah yang berjaya mencuit hatiku membuat airmataku ringan jatuh membasahi pipi. Aku mencuba menyembunyikan airmata itu dari kelihatan semua yang berada dikeliling meja makan. Namun aku sedar ayah mencuri lihat wajahku disaat terdengar esakan tangisan yang aku cuba sembunyikan. Namun dia mendiamkan diri. Semakin kuat aku cuba menahan, semakin deras airmata itu mengalir. Aku pun terus mengangkat kaki dan terus mencuci pinggan lalu memasuki tandas. Aku menangis mengenangkan nasibku, sedih. Sedih bila melihat hidangan yang hebat di atas meja namun aku hanya boleh memakan sedikit sahaja. Bukan untuk mengenyangkan, tapi hanya sekadar untuk merasa. Aku cuba menenangkan diri untuk berhenti dari menangis dan terus keluar dari tandas. Aku sedar untuk mencapai sesuatu, tentu harus ada pengorbanan. Inilah pengorbanan aku untuk mencapai matlamatku di penghujung enam bulan ini. Tidak semua yang ada dihadapan kita itu milik kita.

Tuesday 2 August 2016

Halida_2

Sangat sukar untuk aku mengakhiri malam itu. Apa yang bermain dikotak fikiran aku hanyalah apa dan siapa yang aku lihat tadi. Bukanlah dengki atau cemburu, tetapi aku sedar. Dia sudah bahagia. Kelmarin selepas waktu bekerja, aku bersama rakan-rakan sekerja pergi untuk bermakan malam. Itu sudah menjadi rutin seharian kami. Namun tidak aku jangka sama sekali akan terserempak dengan si dia. Dia yang pernah menjadi semangat dalam hidupku. Walau tiada kaitan, dia pernah memberi harapan pada diri ini. Terserempak tidak menjadikan permasalahan, tetapi melihat dia dengan kekasihnya itu menghidupkan semula perasaan dikhianati. Perasaan yang telah aku cuba padamkan sekian lama. Sesiapa pun akan merasa bengang, marah, bingit bila berada dalam situasi seperti ini. Ceritanya. Tidak lama dahulu, mungkin beberapa bulan yang lepas. Cintaku ditolak atas dasar ingin menumpukan masa pada keluarga dan pelajaran. Semuanya setelah apa yang aku anggap sebagai sudah memberi "harapan". Namun apa yang aku sangkakan ternyata benar. Dia ada pengganti, pilihan yang lain. Aku merasakan seolah dikhianati. Tadinya sementara menunggu pesanan makanan, aku melihat saudaranya bersama sekumpulan rakannya yg lain melangkah masuk ke tempat makan yang aku dan rakan rakan sekerjaku makan. Aku melarikan pandanganku ke arah lain untuk mengelak perasaan janggal. Entah kenapa. Namun kemudiannya, aku terlihat si dia yang baru tiba. Dia datang berduaan dengan kekasihnya. Sentap, hatiku hancur. Aku rasa kurang enak. Soalnya mereka duduk bersebelahan meja dengan aku. Perasaan aku dikala itu hanya ingin secepat mungkin pergi dari tempat itu. Tetapi kerana rakan-rakan, aku kuatkan juga hatiku untuk terus bersama meraka dan menunggu makanan yang dipesan. Setibanya makanan dan minuman ke atas meja, aku langsung memakan namun selera ku hillang bergitu sahaja. Aku cuba menghabiskan minuman dan terus pergi meninggalkan rakan-rakan ku. Tidak sanggup lagi aku untuk berada di situ. Aku berdiri jauh dari posisi si dia supaya tidak kelihatan. Aku termenung, aku keliru dengan perasaanku sendiri. Apakah patut aku merasakan seperti ini? Jika tidak, patutkah aku merasakan gembira? Entahlah. Fikiranku terus melayang bersama angin yang bertiup menyapa sayunya hati aku.

Tuesday 21 June 2016

Lupakan Sahaja Semuanya

Aku cuba buang semua yang ada pada masa lalu. Aku letih, setelah aku cuba berkali-kali untuk memperbaiki keadaan. Bukannya aku ingin lari dari masalah sendiri, tetapi apa gunanya seandainya hanya aku yang berusaha tetapi pihak sebelah tidak pernah mengambil peduli tentang apa yang aku sedang lakukan untuk kami.


Penat. Aku cuba menipu diri sendiri bahawa aku tidak mengapa. Aku menipu diri aku yang sememangnya sedang sedih, lelah, hancur dan hampir putus asa. Aku senyum, aku ketawa untuk menutup semua perasaan yang sedang aku rasakan. Tetapi siapalah yang dapat meneka disebalik bibir yang tersenyum dan ketawa ketawa ini, tersebunyi seketul hati yang sedang menangis. Ingin sekali aku campakkan segala kenangan, ingin sekali aku padamkan semuanya.


Terkadang aku fikir, mungkin lebih mudah jika aku tiada hati dan perasaan untuk semua disekelilingku. Mungkin masanya untuk aku menghiraukan semuanya, kebalkan hati, jadi seorang yang kejam. Tetapi aku tidak mampu menjadi sekejam itu. Itu bukanlah sifatku. Aku hanya minta supaya aku dapat menjadi kuat untuk menempuhi semua ini. Aku hanya ingin menjadi kuat untuk berdiri bersendirian.


Aku tidak mahu lagi ada apa-apa kaitan walau sejenak dalam ingatanku tentang masa lalu yang amat menyakitakan dan pedih itu. Aku ingin mulakan hidup baru dengan akal yang tenang. Aku mahu bebas melakukan apa sahaja tanpa ada sebarang imbasan tentang masa lalu.


Diariku.

Saturday 11 June 2016

Penerimaan


Seringkali aku terjebak dalam cinta yang tidak berbalas. Aku tertanya-tanya, adakah aku yang terlalu mudah untuk jantuh cinta? Adakah aku menjadi seperti itu kerana kesunyian sendirian selama ini? Adakah itu semua salah aku sendiri? Terlalu banyak pertanyaan bermain di mindaku ini setiap kali aku mula berfikir tentangnya.

Acapkali aku bertanya kepada diriku, mengapa aku tidak diterima oleh pihak sebelah. Mungkinkah aku terlalu membosankan? Mungkinkah kerana tiada yang menarik yang ada pada diriku? Mungkin dari segi rupa? Aku selalu berusaha untuk memberi yang terbaik, aku tidak pernah jemu memujuk walaupun pihak sebelah seolah tidak ambil peduli akan usahaku itu.

Orang kata, kalau kami benar benar mahukan sesuatu, kami tidak boleh sesekali berputus asa. Aku cuba dan terus mencuba. Aku mencuba mencari kekuatan dan keberanian untuk meluahkan hati dan perasaan. Sampai waktunya, setelah banyak masa yang kami luangkan bersama, akhirnya aku ditolak dengan kata kata "aku hanya anggap kau sebagai kawan".

Hati sesiapa pun akan runtuh, hancur berkecai, musnah. Aku cuba belajar dari kesilapan, namun ia telah terjadi berkali-kali. Aku cuba bersangka baik walau aku sudah dapat meneka pada akhirnya akan serupa seperti cinta masa lalu yang tidak dibalas. Setiap kali aku bangkit daripada kegagalan, aku cuba menjadi kuat sendirian. Namun kesunyian kuat mencengkam hati ini.

Mungkin suatu hari nanti akan ada insan yang boleh menerima aku sepertimana aku menerima dirinya. Mencintai aku sepertimana aku mencintainya. Merindui sepertimana aku merinduinya. Mungkin nanti aku akan temukan sekeping hati yang serupa seperti hatiku.

Salahkah aku mengimpikan kebahagiaan seperti mereka yang lain? Salahkah aku ingin memiliki cinta dari seorang kekasih? Salahkah aku? Sekarang aku hanya mampu terus cuba menguatkan hati ini. Hati yang hampir mati. Semoga kuat aku berdiri sendiri tanpa sesiapa.

Hati Perindu

Wednesday 4 May 2016

Halida

Jiwa aku menjadi kosong semula bila aku sedar satu lagi pintu sudah tertutup. Cahaya yang pernah menyinari ruang kamar hatiku menjadi gelap gelita. Aku sangka ada ruang untuk aku menumpang, rupanya ruang itu telah dipagar sekelilingnya.

Aku tidak menyalahkan kau, ataupun sesiapa. Mungkin aku yang lebih, aku fikir kau juga mula merasa apa yang aku rasa terhadap dirimu. Sekali lagi, perkara ini terjadi kepada diriku. Aku tidak perlu bertanya tentang sebab mahupun alasannya. Kerana aku tidak pernah temukan atau diberi jawapan pada soalan itu sebelum ini pada setiap kali aku menghadapi kegagalan seperti ini.

Kepercayaan aku akan sebabnya mudah, mungkin aku belum bersedia. Aku percaya suatu hari nanti, tuhan akan memberi yang lebih baik untuk aku. Atau mungkin dengan cara aku merelakan semua ini, kalau sudah ditetapkan dia jodoh untuk aku, pasti kami akan disatukan juga suatu hari nanti.

Pengalaman telah mengajar aku bahawa cinta itu tidak akan berlaku jika ia hanya bertepuk sebelah tangan. Cinta juga tidak boleh dipaksa, cinta lahir dari hati. Jika ada perasaan itu dari kedua belah pihak, maka cerahlah perjalanan bagi pasangan itu. Jika sebaliknya, maka pendeklah usia jodoh mereka.

Setelah beberapa kali aku mengalami situasi seperti ini, aku belajar supaya tidak mendesak untuk terus memikat hati si dia. Lebih lagi setelah aku mengungkapkan apa yang tersimpan di dalam hati ini. Aku cuba berfikiran positif.Bukannya cintaku ditolak, tetapi setelah dia bangkit dari cinta masa lalunya, dia hanya ingin masa untuk tumpukan pada diri sendiri dan keluarganya.

Aku perlu menghormati keputusannya itu. Maka kali ini, aku relakan hubungan kami tidak lebih dari hanya sebagai seorang kawan. Walaupun berat, walaupun payah untuk aku padamkan rasa sayang yang sudah mula berputik, harus aku mengajar diri aku untuk tidak melangkah keluar dari garisan itu. Dan tidak perlu untuk kau rasa bersalah, aku faham.

Biarlah aku begini, suatu hari nanti pasti aku dapat menerima semuanya. Biar aku berpedih hati hari ini. Esok, pasti ia akan pulih seperti semula. Terima kasih kerana telah membahagiakan aku meskipun buat seketika. Ya, aku bahagia bila bersama mu, bila berbual dengan mu sehinggalah aku tahu perkara yang sebenar.

Mujurlah aku berterus terang tentang hati ini dari awal, jika tidak, pasti aku akan lebih kecewa daripada kekecewaan hari ini. Semoga kau bahagia.

Hati Perindu

Thursday 21 April 2016

Setelah kurang lebih tiga bulan, hari ini aku memutuskan untuk menulis sedikit tentang apa yang telah aku lalui sepanjang tempoh waktu itu. Tamat sudah zaman persekolahan bagi aku dan aku hanya menanti saat dijemput untuk menghadap fasa seterusnya dalam kehidupan. Sebagai seorang warga Singapura, aku kini menunggu saat untuk berkhidmat kepada negara. Selain itu, aku hanya bekerja sambilan untuk memenuhi masa lapang yang aku ada disamping mengumpul sedikit wang.

Tentang dunia percintaan aku pula, seperti selalunya. Setelah aku menaruh hati dan perasaanku terhadap seseorang, dia mula jauhkan diri dariku dan sudah aku jangka, tidak berapa lama kemudian, dia sudahpun menjadi milik orang. Aku tidak mahu bertanya kenapa nasibku sering berlaku sedemikian. Aku tahu dan sedar bahawa tuhan sudahpun mengatur perjalanan yang bakal aku tempuhi dalam hidup ini dan dia jugalah yang maha berkuasa dan maha tahu apa yang terbaik untuk aku.

Kali ini, tidaklah aku bergitu kecewa. Mungkin kerana aku sudah dapat meneka dari awal bahawa si dia itu tidak berminat untuk melanjutkan lagi hubungan kami. Tapi sedikit sebanyak aku boleh tersenyum kerana sekurang-kurangnya aku menjadi batu loncatannya untuk bangkit dari kekecewaan cinta masa lalunya. Hari ini, aku melihatnya bahagia dengan kekasihnya. Dia juga sudah pergi jauh dari sini. Semoga dia bahagia dan akan aku padamkan segala cerita dan angan-anganku untuk bersama dengannya.

Seorang lagi gadis yang aku kenal melalui rakan sekerja yang akhirnya menjadi kawanku. Kami tidak pernah bersua muka namun mesra berbual melalui pesanan ringkas. Dia pernah menjadi tempat aku mengadu, dialah teman yang akan aku ceritakan segala masalah. Dia pendengar yang setia dan juga seorang yang memberi nasihat yang baik. Namun baru-baru ini apabila aku bercerita tentang perasaan aku pada seseorang yang aku mula jatuh hati kepada, aku dapat merasakan seolah perlahan-lahan, dia mula menarik diri dan cuba untuk menjauhkan diri daripada aku.

Apa kesilapan aku sehingga dia ingin membuat sedemikian? Mungkinkan dia menaruh perasaan pada aku? Jika itulah sebabnya, aku harap dia dapat memaafkan aku kerana aku tidak dapat untuk terima ataupun membalas perasaan itu. Lebih lagi aku anggap dia hanya sebagai seorang kawan.
Dan kepada dia yang aku mula jatuh hati itu. Sebenarnya kami sudah berkawan lebih kurang selama sembilan tahun. Tetapi hanya sebagai kawan biasa. Dahulu, jarang sekali aku akan berbual dengannya. Tetapi entah kenapa setelah aku dapat tahu dia sudah putus dengan kekasihnya, hatiku mula tergerak untuk mengenalinya lebih lagi. 

Aku mula menegurnya di laman social dan lama kelamaan, pesanan ringkas melalui telefon bimbit dan hari ini aku rasa kami semakin rapat walaupun aku masih lagi merasa janggal bila berhadapan dengannya, aku jatuh dan terus jatuh hati kepadanya.
Entahlah, kerana kami kawan, aku rasa janggal. Tidakkah engkau merasa janggal apabila jatuh cinta pada temanmu sendiri? Apa pula kata kawan-kawanmu yang lain jikalau mereka mendapat tahu? Tentu rasa janggal, malu. Selama aku mula merapatkan diri dengannya, aku sedar beberapa perkara yang mungkin dia tidak dapat terima tentang aku. Dia kecoh, aku pendiam. Aku “clingy” dan dia tidak suka orang yang “clingy”. Dalam masa yang akan datang, entah apa lagi yang akan aku pelajari tentang dirinya.

Yang pasti, aku sudah mula jatuh hati padanya. Kawanku.  Bila sehari tidak dengar suara, bila lama tidak berjumpa akan mula rasa rindu. Kenapa aku rindu dia? Aku memang jenis yang mudah rasa rindu. Cuma yang aku takut, jika semua yang aku rasa ini hanya aku sahaja yang rasa. Perjalanan kami masih jauh walaupun usia kami berkawan sudah lama, baru sekarang aku mula mengenali isi hatinya. Aku berserah. Semoga tidak akan ada antara kami yang akan kecewa.


Diari Hati Perindu

Friday 12 February 2016

Lepas hari ini, mungkin aku akan kurang menulis, kerana aku tidak lagi akan berada di hadapan computer ribaku bergitu kerap. Tetapi tentu aku tidak akan melupakan blog yang telah aku hidupkan lebih kurang tiga bulan yang lalu. Sepanjang masa itu, banyak hal yang aku luahkan ke dalam blog ini. Tersimpan semua kedukaan masa lalu bagi aku di dalam blog ini. Meskipun tidak ramai yang membacanya. Sekali sekala, aku akan membaca semula tulisanku dan sedar bertapa banyaknya masa telah merubah keadaan dan diri aku. Semuanya sedikit sebanyak berubah walau masanya sangat singkat. Blog ini ibarat diariku. Diari yang akan aku bacakan semula suatu hari nanti. Aku harap aku akan terus menulis di blog ini. Tetapi buat masa ini, biarlah waktu yang akan menentukan  semuanya. 

Thursday 11 February 2016

Lima Bulan

Alhamdulillah, aku bakal menamatkan zaman persekolahan tidak lama lagi. Akhirnya hampir tamat latihan bekerja (internship) di syarikat ini. Setelah lima bulan, esok merupakan hari terakhir aku disini. Terasa pantas sahaja masa berlalu apabila sampai kepenghujung walaupun pada mulanya, aku merasakan masa seolah tidak berganjak walau sesaat. Walaupun aku tidak berminat dalam bidang ini, demi segulung ijazah peringkat diploma, aku terpaksa untuk melalui semuanya.

Aku tahu meskipun bergitu, aku akan merindui saat-saat selama aku berada di sini. Aku tahu aku akan merindukan tempat ini walaupun pada mulanya aku tidak berapa suka berada di sini. Sepanjang lima bulan ini, banyak yang aku pelajari. Ada juga beberapa perkara yang membuatkan hatiku senang apabila aku mampu mengatasinya. Meskipun ia mungkin kelihatan mudah, bagiku ianya suatu pencapaian di sebuah tahap yang baru.

Dalam masa lima bulan ini, banyak yang aku gambarkan tidak kesampaian. Selama lima bulan ini juga, kehidupan ini aku jalani keseorangan. Tiada  yang ada disampingku untuk memberi  semangat dan selama lima bulan ini jugak mereka yang aku baru mengenali melangkah pergi jauh dari kehidupanku ini. Mereka yang di suatu ketika pernah menjadi pelita dalam kegelapan hidupku ini.

Dalam tempoh waktu ini, aku terus mencuba untuk mencantumkan semula hati telah hancur berderai. Aku cuba untuk terus kuat menjalani hidup ini dengan tabah meskipun tiada berdaya lagi aku menghadap segala dugaan yang menimpa aku selama ini. Terlalu indah rancangan aku bersamanya sebelum ini untuk menempuhi hidup ini bersama. Betapa ikhlasnya aku untuk terus disampingnya, aku berangan.

Aku angankan kita kekal sehingga aku menamatkan sekolah dan sehingga aku menghabiskan masa aku untuk perkhidmatan Negara dan kemudian bekerja. Aku berangan untuk terus bersamanya sehingga aku stabil dari segi kewangan dan meningkat usia. Namun apakan daya, tiada jodoh di antara kami. Dia memilih untuk melangkah pergi tanpa menjelaskan apa silap aku dan tanpa memberi aku peluang untuk menjelaskan. Aku relakan jua.

Namun setelah banyak sudah bulan yang berlalu, tidak dapat aku melupakan kenangan yang tercipta bersama walau sejenak. Berulangkali aku cuba namun setiap kali aku melihat disekelilingku, aku pasti akan terimbas kembali tentang dirinya yang telah banyak memberi impak kepada diri ini meskipun hadirnya dirinya hanya seketika dalam hidup aku.

Waktu sepanjang lima bulan ini cukup untuk aku merasakan kesunyian dalam hidup tanpa seorang teman. Setiap malam aku sendiri mengenangkan nasib diri. Setiap hari aku usahakan untuk menjadi manusia yang lebih kuat. Setiap hari aku mengharap agar akan ada yang datang untuk mewarnakan semula warna yang telah lama pudar dari kehidupan ini.

Tetapi sehingga hari ini, masih juga aku terus menanti. Tapi aku cuba menambah keceriaan pada diri meskipun ada terasa hambar dalam setiap senyuman dan setiap tawaanku itu.  Aku cuba menghanyutkan diri aku dalam keceriaan dan kegembiraan setiap hari. Namun arusnya akan membawaku semula ke tempat asal aku bermula.

Sekarang, tiba masanya untuk aku fokuskan diri pada masa depan. Namun aku sedikit gementar untuk menantikan peringkat seterusnya dalam kehidupan. Masih banyak lagi yang belum dapat aku rasakan dalam kehidupan ini. Masih belum tercapai lagi impian dan cita-cita ku. Peringkat hidup sebagai dewasa, entah apa yang akan aku lalui di peringkat itu.

Aku yakin rezeki dan jodoh untuk aku telah tersusun rapi oleh yang maha berkuasa lagi maha mengetahui. Akan aku menanti ketibaanmu suatu hari nanti.


Diari Hati Perindu

Thursday 4 February 2016

Satu Demi Satu

Hidup ini tidak sekalipun akan sunyi dari masalah. Tidak kiralah dari segi apa sekalipun. Bila sudah merancangkan sesuatu, ada saja yang menghalang rancangan itu dan mempersulitkan lagi keadaan yang sudah cukup sulit untuk diperjelaskan.

Dalam proses menjernihkan keadaan, ada sahaja yang akan  mengerohkannya semula. Habis tercemar seluruh air yang digambarkan sebagai air yang jernih sekiranya rancangan itu lancar dijalankan. Aku pening, aku runsing, kepalaku pusing memikirkan semua ini.

Lepas satu, satu lagi masalah yang datang menyapa diri ini. Lari? Aku tidak sanggup lagi untuk berlari dari masalahku. Setiap kali aku cuba untuk berlari dari semuanya, meskipun ia akan menyenangkan hati dan fikiranku, namun ketenangan itu tidak berkekalan.

Disebabkan aku lari dari masalah, masalah itu akan bertambah serius dan mungkin juga akan timbul masalah yang baru disebabkan tindakkan aku itu. Aku penat untuk menghadapi semua masalah ini, tanpa henti semuanya menimpa diriku. Satu demi satu akan aku selesaikan.

Semoga aku kuat untuk menempuhi semuanya dengan sabar.

Diari Hati Perindu

Wednesday 3 February 2016

Aku Terus Cuba Kuat

Entah mengapa sejak beberapa hari ini, aku rasa gelisah. Terasa kesunyian yang  semakin kuat mencengkam hati ini hari demi hari. Entah mengapa, entah apa silapku. Aku sendiri tidak dapat memahami keadaan diriku sendiri di saat ini. Aku telah cuba untuk sentiasa membuat diri ini sibuk dengan melakukan tugasan, menonton filem, mendengar lagu, luangkan masa bersama kawan-kawan hingga lewat malam ada kalanya sampai ke pagi aku bermain gitar , malayari internet dan meluangkan masa menunggang motorsikalku kesana dan kemari. 

Aku cuba semuanya. Tetapi masih juga aku rasa serabut dengan fikiran ini. Hatiku terasa sunyi. Ingin sekali aku meluahkannya kepada seseorang. Tetapi, aku tidak mahu menyusahkan sesiapa dengan masalah diriku ini. Mungkin juga mereka akan jemu mendengarkan masalahku. Masalahku yang berulankali berpuncanya dari perkara yang sama. Aku pendamkan semuanya dalam hati yang semakin hari semakin layu dan semakin pudar harapan untuk kembali seperti semula.

Setujukah engkau bila aku berkata, tiada sesiapa yang mampu bertahan untuk menanggung semuanya dan menjalani hidup ini sendirian. Sampai satu tahap pasti engkau akan merasa sama seperti aku, layu, kosong. Sampai satu tahap pasti engkau perlu untuk meluahkan segalanya pada seseorang. Tapi siapa? Siapa yang sudi untuk mendengar rintihan hati ini? Puas aku menanggung semua sendirian. Aku hanya inginkan seorang teman untuk berbual, untuk aku kongsikan masalahku. 

Tetapi aku tiada sesiapa untuk aku meluahkannya. Semua sahabatku sibuk dengan rutin harian masing-masing. Jika aku menceritakan tentang apa yang sedang hadapi, belum tentu mereka dapat menolong aku. Entahlah, aku juga keliru dengan diriku sendiri. Mungkin aku hanya inginkan perhatian, mungkin aku ingin merasakan diri ini disayang.
Inilah perasaan yang ingin aku jauhkan. Jauh sekali aku mahukan diri ini terus terbelenggu dengan perasaan sedemikian. 

Aku mahu menjadi kuat untuk menempuh semuanya sendiri tanpa mengharapkan apa-apa dari sesiapa pun. Namun, aku masih juga lemah, lemah untuk terus kuat hidup tanpa adanya cinta. Telah berkali-kali aku mencuba untuk bina dan terus membina diri ini. Aku cuba untuk menyayangi diriku sendiri kerana ada sahabat yang pernah menasihati diri ini,

“Tolong diri sendiri sebelum membantu orang lain. Kalau kau tak sayang diri kau, macam mana kau nak sayang orang lain? Kalau kau tak boleh jaga hati kau, macam mana kau nak jaga hati orang lain? Kau kene kuat, bila kau kuat, tak kiralah apa atau sesiapa sekalipun yang nantinya akan datang untuk menyakiti kau, kau takkan seperti ini lagi. Kau tentu mampu menghadapi semuanya.”

Aku cuba, aku cuba dan terus mencuba, tapi tetap juga aku gagal. Kenapa? Payah yang amat sungguh untuk menjalankan tanggungjawab keatas diri sendiri. Mengapa sukar untuk aku meneruskan? Aku hampir sahaja berjaya untuk meyakinkan diriku ini untuk melupakan segalanya, aku hampir saja menjadi lebih baik dari aku yang sebelumnya tetapi setelah segala apa yang berlaku dan setelah melihat mereka semula, semua kenangan tentang mereka kembali menghantui ruang minda ini dan kesakitan, keperitan menjalani sewaktu aku ditinggalkan. 

Atas sebab sebab tertentu, itu yang membuat aku kembali kepada aku yang sebelumnya. Aku mula berfikir melampaui batas yang sewajarnya. Keterlaluan, aku berfikir tentangnya hampir setiap malam, hampir setiap saat di kala aku dibiarkan untuk bersendirian, setiap kali aku nampak sepasangan kekasih, aku akan teringat kenangan tentang kita.Di saat ini, apa yang aku inginkan hanyalah untuk berdiri kuat dengan kedua kaki ini. 

Aku mahu berdikari, aku mahu kuat menjalani setiap hari semula penuh dengan keceriaan yang terlahir dari diri aku sendiri. Bukan dengan kemuraman yang aku sembunyikan sekian lama dan menampilkan diri aku yang palsu dengan keceriaan. Kononnya aku bahagia sedangkan pada hakikatnya hatiku remuk, jiwaku tersiksa dan masih lagi dibelenggu dengan perasaan yang aku ingin jauh sekali dari diri aku. Impian aku adalah untuk bahagia suatu hari nanti. 

Aku terpaksa merelakan diriku terus bergini sampai tiba waktunya pasti kebahagiaan akan menjadi milikku.

Diari Hati Perindu 

Tuesday 2 February 2016

Engkau Boleh Ke Laut

Setelah berhabis wang, masa, dan tenaga
Aku mengalah walaupun bukan aku yang bersalah
Aku rela menerima semua meskipun aku yang terluka
Aku berkorban untuk melihat engkau bahagia
Sedari aku pengorbananku menjadi sia-sia
Rupanya engkau yang tidak setia

Engkau membiarkan dia pergi
Dalam sekelip mata ada teman sebagai pengganti
Mengapa engkau yang pernah aku cintai?
Mengapa aku menjadi mangsa keadaan ini?
Masih banyak perlu aku pelajari
Tentang diriku sendiri

Mudahnya aku percaya, kemudian sangkut
Walau ditolak aku terus berpaut
Sehinggalah hatiku yang berparut
Terus berdarah walau sudah berbalut
Ragaku pula terasakan seakan hampir maut
Aku mohon, engkau boleh ke laut.

Karya Oleh
Hati Perindu

Wednesday 27 January 2016

Aku Berangan

Pagi-pagi hari gua duduk berangan
Nak jadi tauke pegang duit dalam tangan
Angan bukak kedai jual makan makan
Dapat untung boleh shopping belanja sakan

Bila bisnes maju bukak outlet lagi Satu
Ambik budak ramai kerja kasi laku
Jual makan sedap bukan keras macam batu
Kasi pelanggan puas baru boleh maju

Mata merah upah orang datang rompak
Gua dah ready siap keluar tembak
Terus lari bukan jalan bukak kepak
Apa diorang fikir gua budak-budak?

Gua kerja keras nak makan kenyang
Lu pahal kacau periuk nasi orang?
Perlu usaha kalau nak hidup senang
Tapi kalau malas lu boleh duduk belakang

Acah-acah rap
Hati Perindu 


Tuesday 26 January 2016

Lupakan

Mengapakah mudah untuk diri ini memaafkan?
Setelah apa engkau lalui, setelah puas hati ini dihancurkan.
Lupakah engkau pada masa engkau ditinggalkan?
Lupakah engkau pada masa-masa yang dilalui?
Lupakah engkau pada keperitan melalui hari-hari setelah itu dan masih lagi
Menahan perih, pedih mengenangkan sisa-sisa cinta yang masih berbaki.
Sedangkan dia langsung tidak merasakan sebarang impak dalam kehidupannya.
Mudah sahaja dia bangkit dan meneruskan hidup.
Engkau juga perlu bangkit sepertinya.
Untuk apa berpegang pada sesuatu yang akhirnya menghancurkan?
Untuk apa? Lupakan. Maafkan.  Teruskan.
Pasti engkau mampu.
Yakin. Engkau lebih kuat dari ini.
Engkau lebih kuat dari semalam.
Aku memaafkan, aku redha.
Tetapi tetap juga tidak mampu untuk melupakan.

Diari Hati Perindu

Monday 25 January 2016

Masa


Bukan sahaja masa boleh berubah
Masa membuat orang berubah
Masa membuat orang menjadi dewasa
Masa membuat orang menjadi tua
Masa membuat orang terlambat
Masa membuat orang jemu
Masa membuat orang rindu
Masa membuat orang terluka
Masa boleh membuat orang terlupa
Tetapi tidak membuat orang melupakan

Karya Oleh
Hati Perindu

Tuesday 19 January 2016

Sia-Sia Belaka



Aku menjatuhkan pena yang tadinya lencah menari.
Ke atas kertas, terlepas dari genggaman jari.
Kertas berkandung karyaku dibasahi airmataku sendiri,
Sebak bila mengenangkan cerita tentang hati ini.

Seolah diuji di setiap persimpangan hidup tanpa henti.
Puas aku menderita, terluka dan dilukai.
Meskipun engkau telah lama pergi,
Ingatanku tentang dirimu masih lagi di sini.

Entah mengapa sukar untuk dirimu dilupakan,
Setiap malam aku cuba untuk mengawal diri dari terus memikirkan.
Aku tahu semuanya sudah ditakdirkan,
Seharusnya aku terima hakikat aku sudah engkau lupakan.

Mungkin engkau sudah mencapai bahagia,
Setelah aku engkau tinggalkan sengsara.
Untuk apa dikorbankan jiwa dan raga,
Jika akhirnya engkau yang tidak setia.


Ternyata jelas, semuanya sia sia belaka.

Karya Oleh
Hati Perindu

Tuesday 12 January 2016

Teringat Dia Lagi

Jam menunjukkan waktu yang baru memasuki jam tiga suku pada pagi tadi. Aku terjaga dari lena  dan dia yang pertama yang ada dalam fikiranku di saat itu. Serasakan inginku bertanya padamu takdir yang lama di sana. Mengapakah aku diperlakukan dengan beban cinta yang kecewa? Entah kenapa mudah saja ingatan tentangnya kembali sedangkan aku yang bersusah payah cuba untuk melupakannya setiap hari dan setiap malam. Orang kata kalau kita teringat pada seseorang, ada kemungkinan yang orang itu juga sedang memikirkan kita.

Ah! Mana mungkin? Sedangkan dahulu aku sahaja yang bersungguh untuk mempertahankan segalanya malah ditinggalkan bergitu sahaja tanpa khabar berita. Tahu-tahu dia sudah pun ada pengganti. Inikan pula di waktu ini, siap block aku kat watssapp, twitter bagai. Aku tidak pasti dia sengaja ataupun dia terlupa untuk block aku di instagram. Walau aku cuba sedaya upaya untuk melupakannya, jauh di sudut hati aku masih lagi tersimpan kenangan tentang dia sewaktu kita bersama. Biarpun hanya buat seketika. Lalu aku pun membuat keputusan untuk menjenguk akaun instagram miliknya.

Wajah itu, masih lagi dalam ingatanku. Terimbas semula kata-kata dan masih lagi aku ingat lembut suaranya, manis. Siapa sangka yang dahulunya aku sangka madu kini telah menjadi racun berbisa. Setelah teringat pada kisah pahit yang membuatkan kami terpisah selamanya, aku hentikan semuanya dan cuba untuk kembali tidur. Tetapi fikiranku kacau, aku tidak dapat lagi untuk tidur. Seakan tiada bernyawa aku berbaring di atas katilku sambil merenung pada kegelapan. Gelap gelita, aku biarkan diri aku dalam keadaan itu untuk beberapa jam sebelum aku menghanyutkan diriku semula ke dalam tidur. Dalam beberapa jam itu, tidak henti aku fikirkan tentang dia, dia dan dia lagi.

Entah apa khabarnya, sihat ke, macam mana hidup dia? Kali terakhir aku dapat maklumat hasil penyelidikan aku sendiri, dia sudah tidak bekerja di tempat kerjanya yang dulu lagi. Tetapi entahlah dia kerja dekat mana. Dulu pernah dia memberitahu aku dia ingin berkerja di suatu tempat. Pernah juga aku pergi ke sana untuk menjenguk, manalah tahu kalau boleh terjumpa. Bukannya aku nak sangat jumpa dengan dia, sekadar dapat tengok dari jauh pun jadilah. Tapi sayangnya  tidak nampak pun kelibat si dia.

Orang dulu-dulu kata, kalau tak dapat tengok muka, tengok pangar rumah pun jadilah. Beberapa kali juga aku lalu daerah rumah dia, tapi itulah, belum pernah terjumpa lagi. Entah macam mana reaksi kami masing-masing kalau terserempak suatu hari nanti. Tentu rasa janggal. Dari apa yang aku tahu tentang dirinya, dia pasti tidak akan memandang aku, apa lagi mahu menegur. Dia akan cuba sedaya upaya untuk mengelakkan diri dari aku.

Walaupun aku yakin semua ini bukan salah aku seorang, aku tidak mahu menyalahkannya. Biarlah semuanya berakhir tanpa sembarang penjelasan dan menjadi tanda tanya sejak dia memilih untuk melangkah pergi dari hidupku. Aku? Biar aku bangkit semula dari kelemahan untuk mencari sedikit kekuatan dan semoga dengan itu, akan aku teruskan hidup.


Diari Hati Perindu

Monday 11 January 2016

The Sallys – Goodbye Pujaan Hatiku


Hey pujaan hatiku hanya tinggal kenangan bagiku
Dulu semuanya indah kau katakan kau setia
Tiba-tiba kau berubah penuh dengan kata-kata dusta
Seorang jejaka menjelma manis kata kau tergoda

 Jangan fikirkan ku jangan rindu aku pergi dari hidup ku
Tidak mungkin lagi, tidak ada erti cincin di jari
Sudah kau menipu, sudah kau keliru yang mana kau mahu
Oh goodbye, goodbye, pujaan hatiku

Hey pujaan hatiku ibumu tidak merestuiku
Rayuan tidak diterima mungkinkah orang ketiga
Semua telah ku beri, sumpah setia hidup semati
Manis mulutmu bicara tak ku sangka kau pendusta

Jangan fikirkan ku jangan rindu aku pergi dari hidup ku
Tidak mungkin lagi, tidak ada erti cincin di jari
Sudah kau menipu, sudah kau keliru yang mana kau mahu

Oh goodbye, goodbye, pujaan hatiku

Musik Adalah Cara Hidupku


“Musik adalah cara hidup. Tiada makna sebuah hidup itu tanpa adanya musik.” Aku setuju dengan kata pepatah itu. Musik telah memainkan peranan besar dalam setiap keadaan hidupku, dalam setiap situasi yang aku lalui. Berbagai nada dan alunan musik dalam sebuah lagu yang dapat menggambarkan berbagai situasi yang sewaktu dengan perasaan dan keadaan yang aku lalui. Musik dapat mengubati luka di hati, dapat juga mengubah perasaan muram menjadi ceria biarpun buat seketika.

Dengan musik, akal dan fikiranku dilarikan dari realiti, aku seolah dibawa bersama  lagu itu kepada suatu kehidupan sebagai orang yang berlainan. Tidak akan sehari pun hidupku berlalu tanpa musik. Bukan sahaja mendengar, aku juga bermain alat musik di waktu lapang. Ada juga beberapa karya yang aku tuliskan menjadi sebuah lagu, tetapi hanya untuk dimainkan diwaktu lapang. Kata orang syiok sendiri. Tidak pernah lagu ciptaan aku didengari oleh sesiapa pun.

Setiap lagu yang menjadi lagu kegemaranku mempunyai makna disebaliknya. Ada juga lagu yang mengembalikan kenangan pahit buat diri ini. Kenangan yang hadir dalam lagu itu tidak dapat aku lupakan. Kerana setiap kali lagu itu dimainkan di corong radio, ingatanku tentangnya dikembalikan semula.  Namun dengan lagu juga aku meluahkan perasaan.

Minatku lebih kepada lagu-lagu melayu. Lebih lagi lagu yang akan menyentuh hati dan mungkin membuatkan aku menitiskan airmata. Lagu jenis bergini biasanya orang kata lagu jiwang. Mungkin juga kerana citarasa ku yang sebeginilah yang membuat aku menjadi seperti aku yang sekarang. Daripada lagu, Hingga terbawa-bawa ke dalam kehidupan hari-hari. Kalau waktu sekolah rendah aku gemar lagu slow rock. Aku sedari dulu aku pon slow macam lagu lagu tu. Lawak kan? Hahaha.

Perlahan-lahan aku mula berjinak-jinak dengan lagu yang bernada dan berirama lebih keras. Seperti lagu rock, metal yang jenis terpekik terlolong. Lagu jenis ni membuat aku merasakan tenaga yang ada pada darah muda yang sedang mengalir dalam tubuh aku. Baru-baru ini pula, aku mula mendengar lagu lagu skinhead. 

Aku tertarik pada budaya skinhead yang sering disentuh dalam lagu-lagu yang mereka laungkan. Tenaga yang ada dalam setiap lagu-lagu mereka, sungguh aggressive, sesuai rasanya bila mendengar ketika marah. Lagu-lagu skinhead juga banyak menyentuh tentang hidup dan isu-isu kejadian di dunia. Namun minat aku pada lagu lain tidak serupa minat ku pada lagu-lagu jiwang. Aku tidak pernah jelak mendengar lagu-lagu jiwang.

Dengan lagu, aku meluahkan segala perasaan yang terkunci dalam hati ini secara tidak langsung  kepada seseorang kerana terlalu berat untuk mulut berkata-kata. Dengan itu, tersimpan harapan agar lagu itu didengari dan difahami oleh dia yang aku maksudkan. Tetapi biasanya orang tetap tidak faham. Aku sahaja yang bertepuk sebelah tangan. Dan dengan lagu juga aku menyejukkan hati yang sedang membara. Dengan lagu juga aku meredakan airmata yang ringan jatuh membasahi pipi. Musik adalah segalanya bagiku.


Diari Hati Perindu


Thursday 7 January 2016

Projector-Sudahku Tahu



Seringkali aku menduga, seringkali ini terjadi
Segala rahsia sudah ku tahu, rupanya aku tak dicintai

Untuk apa kau buat ku bergini, segala apa yang telah ku lakukan
Airmata mengalir dipipi, segala apa yang ku korbankan untuk dirimu

Mengapa masih lagiku, berdiri ku menunggu cintamu
Mengapa masih adamu, menyakiti di siang malamku
Aku terima cintaku dipersiakan

Sayang!!!
Aku kau lupa, Aku kau luka
Tanpa kau sedar

Sayang !!!
Selamat tinggal, Aku akan pergi
Buat selamanya, Aku pasti kau bahgia tanpaku

Selamanya!!!

Wednesday 6 January 2016

Bayangan Tidak Serupa Realiti


Pernahkah  engkau merasakan hampa kerana sesuatu yang kau harapkan tidak seperti apa yang kau bayangkan? Salah siapakah bila apa yang kau bayangkan tidak seperti apa yang ada pada realiti? Mungkin silap aku kerana mempunyai harapan yang tinggi terhadap sesuatu. Tetapi rasanya seolah sudah terlambat untuk aku mengundur diri. Aku tidak biasa menyakiti hati dan perasaan orang lain. Aku jauh sekali tidak mahu memulakannya.

Aku tahu apa yang mereka akan rasa bila disakiti, dihancurkan hati berkali-kali dan akhirnya mati. Mati segala keinginan untuk bercinta lagi, mati segala perasaan dan mati juga hatinya untuk jatuh cinta lagi. Ia memakan masa untuk dihidupkan semula api yang sudah mati. Aku tahu, aku sudah dihadapkan dengan situasi itu berkali-kali. Justeru itu aku tidak mahu sesiapa terluka dalam keadaan itu lebih lagi kerana aku. Aku mula menyesal atas perbuatanku. Aku tidak sepatutnya mengenali dia dengan cara itu. Semua ini silap aku, tapi bagaimana lagi harus aku berhadapan dengannya lagi?

Aku seolah dapat meneka bahawa dia juga seperti aku yang sering terluka, sering dihadapkan dengan kata-kata tolak, sering disakiti dan sering bersendirian. Dia seorang yang baik tetapi cinta tidak boleh dipaksa. Sekarang baru aku mengerti mengapa aku ditolak oleh mereka yang pernah aku cuba untuk memikat hatinya. Aku tidak dapat menerima sesuatu yang aku tidak suka. Cuba bayangkan, jika engkau membeli sehelai baju yang kau langsung tidak meminati.

Tentu baju itu hanya disimpan dalam gerobok dan jarang sekali engkau akan memakainya. Engkau pasti tidak akan dapat memanfaatkannya dengan sepenuhnya. Jika sehelai baju itu mempunyai hati dan perasaan, tentu dia akan rasa dirinya diabaikan, tentu dia akan merasa sedih. Jadi atas alasan apa engkau membelinya dahulu? Kerana itu, sebelum semuanya terlambat dan semakin rumit, lebih baik aku jarakkan diri aku sedikit demi sedikit.


 Aku tidak mahu memberikan harapan.
Jauh sekali untuk menyakiti hatimu.
Maafkan aku.


Diari hati perindu

Tuesday 5 January 2016

Hampir Berjaya

Walau aku tahu tidak mungkin akan sempurna lagi.
Aku tetap terus cuba menampal cacat pada diri.

Aku cuba untuk bangkit berdiri.
Sendirian mencari pelangi.

Biarpun tersungkuh dan jatuh berkali-kali.
Aku ingin belajar semula untuk bebas berlari.

Tatkala aku engkau tinggalkan, terasa hidup ini sunyi dan sepi.
Ya aku sedang mencuba, hampir sahaja aku berjaya.

Diari Hati Perindu

Monday 4 January 2016

Kelmarin

Kelmarin pada hari jadiku aku kembali ke tempat pertama kita kunjungi di awal pertemuan kita dahulu. Tujuanku ke sana adalah untuk mengambil angin di tepi pantai sambil melihat keindahnya dan menenangkan fikiran. Itu sememangnya tempat yang terjauh dahulu menjadi pilihanku untuk meluangkan masa bila dalam kesedihan mahupun dalam keadaan bermasalah. Aku rindukan tempat itu dan rasakan keperluan untuk meluangkan masa aku disitu pada hari itu.

Sudah menjadi suatu rutin untuk aku menuju ke situ hanya untuk duduk dan menenangkan fikiran di kala akal dan fikiran ku kusut, berserabut, buntu, sedih.  Tapi setelah aku membawa kau bersama aku ke tempat yang bermakna ini, segalanya berubah. Berubah setelah engkau pergi. Bukannya aku tidak dapat melupakan semuanya, tetapi inilah tempat aku meluangkan masa untuk mencari ketenangan. Tidak sangka pula di sini jugalah terkubur dan terpahatnya nisan kenangan kita setelah engkau pergi.

Bila aku melihat tempat ini, apa yang tinggal hanyalah kenangan. Kenangan pahit tentang engkau, tentang apa yang berlaku antara kita. Tempat ini sudah berbeza, dari sebelumnya. Sambil aku menikmati ketenangan, terimbas semula kenangan bersamamu. Sebahagian kenangan manis, namun lebih mengingatkan kepada kenangan pahit yang mengisi ruang sepenuhnya.

Aku teringat tentang rancangan untuk menyabut hari lahir kami bersama memandangkan kami dilahirkan pada bulan yang sama. Jaraknya pula seminggu lebih antara hari lahir kami. Engkau pernah berkata akan membawa aku ke suatu tempat namun engkau merahsiakan dan hingga ke hari ini aku masih lagi tertanya-tanya tentang tempat itu. Tentu istimewa sehingga engkau langsung tidak mahu berkongsi. Atau mungkin aku sahaja yang tidak cukup istimewa pada engkau di waktu itu. Tidak hairanlah kerana kini semuanya sudah jelas.

Aku cuba melupakan segala kenangan tentangmu.  Lalu aku duduk dan melihat ke arah kapal-kapal di tengah lautan, melihat burung-burung yang menerbangi bebas di ruang langit dengan berlatar belakangkan suara ombak yang memukul pantai aku menikmati segala keindah alam ini sambil menghirup secawan kopi yang dibeli di sebuah kedai berdekatan. Aku rasa tenang buat seketika, seperti aku dapat lari dari realiti biarpun buat seketika. Walau apa yang berlaku masih jelas dalam ingatan, aku teruskan usahaku untuk terus kuat menghadapi dan menerima semuanya.

Setelah sudah hampir satu jam aku di situ, aku pun melangkah pergi setelah matahari terbenam. Langkah demi langkah aku menuju ke motorsikalku yang menjadi teman setiaku. Setiap hembusan nafasku ketika melangkah terasa berat untuk meninggalkan tempat itu. Bila tiba sahaja di motorsikalku, aku terhenti, aku mula emosi. Namun aku menahan segala perasaan dan terus menghidupkan enjin lalu beredar dari tempat itu.


Hidup tidak menjanjikan semua akan mudah dan berjalan seperti dirancang.
Hidup juga tidak pernah menjanjikan bahagia.


Diari Hati Perindu