Tuesday 21 June 2016

Lupakan Sahaja Semuanya

Aku cuba buang semua yang ada pada masa lalu. Aku letih, setelah aku cuba berkali-kali untuk memperbaiki keadaan. Bukannya aku ingin lari dari masalah sendiri, tetapi apa gunanya seandainya hanya aku yang berusaha tetapi pihak sebelah tidak pernah mengambil peduli tentang apa yang aku sedang lakukan untuk kami.


Penat. Aku cuba menipu diri sendiri bahawa aku tidak mengapa. Aku menipu diri aku yang sememangnya sedang sedih, lelah, hancur dan hampir putus asa. Aku senyum, aku ketawa untuk menutup semua perasaan yang sedang aku rasakan. Tetapi siapalah yang dapat meneka disebalik bibir yang tersenyum dan ketawa ketawa ini, tersebunyi seketul hati yang sedang menangis. Ingin sekali aku campakkan segala kenangan, ingin sekali aku padamkan semuanya.


Terkadang aku fikir, mungkin lebih mudah jika aku tiada hati dan perasaan untuk semua disekelilingku. Mungkin masanya untuk aku menghiraukan semuanya, kebalkan hati, jadi seorang yang kejam. Tetapi aku tidak mampu menjadi sekejam itu. Itu bukanlah sifatku. Aku hanya minta supaya aku dapat menjadi kuat untuk menempuhi semua ini. Aku hanya ingin menjadi kuat untuk berdiri bersendirian.


Aku tidak mahu lagi ada apa-apa kaitan walau sejenak dalam ingatanku tentang masa lalu yang amat menyakitakan dan pedih itu. Aku ingin mulakan hidup baru dengan akal yang tenang. Aku mahu bebas melakukan apa sahaja tanpa ada sebarang imbasan tentang masa lalu.


Diariku.

Saturday 11 June 2016

Penerimaan


Seringkali aku terjebak dalam cinta yang tidak berbalas. Aku tertanya-tanya, adakah aku yang terlalu mudah untuk jantuh cinta? Adakah aku menjadi seperti itu kerana kesunyian sendirian selama ini? Adakah itu semua salah aku sendiri? Terlalu banyak pertanyaan bermain di mindaku ini setiap kali aku mula berfikir tentangnya.

Acapkali aku bertanya kepada diriku, mengapa aku tidak diterima oleh pihak sebelah. Mungkinkah aku terlalu membosankan? Mungkinkah kerana tiada yang menarik yang ada pada diriku? Mungkin dari segi rupa? Aku selalu berusaha untuk memberi yang terbaik, aku tidak pernah jemu memujuk walaupun pihak sebelah seolah tidak ambil peduli akan usahaku itu.

Orang kata, kalau kami benar benar mahukan sesuatu, kami tidak boleh sesekali berputus asa. Aku cuba dan terus mencuba. Aku mencuba mencari kekuatan dan keberanian untuk meluahkan hati dan perasaan. Sampai waktunya, setelah banyak masa yang kami luangkan bersama, akhirnya aku ditolak dengan kata kata "aku hanya anggap kau sebagai kawan".

Hati sesiapa pun akan runtuh, hancur berkecai, musnah. Aku cuba belajar dari kesilapan, namun ia telah terjadi berkali-kali. Aku cuba bersangka baik walau aku sudah dapat meneka pada akhirnya akan serupa seperti cinta masa lalu yang tidak dibalas. Setiap kali aku bangkit daripada kegagalan, aku cuba menjadi kuat sendirian. Namun kesunyian kuat mencengkam hati ini.

Mungkin suatu hari nanti akan ada insan yang boleh menerima aku sepertimana aku menerima dirinya. Mencintai aku sepertimana aku mencintainya. Merindui sepertimana aku merinduinya. Mungkin nanti aku akan temukan sekeping hati yang serupa seperti hatiku.

Salahkah aku mengimpikan kebahagiaan seperti mereka yang lain? Salahkah aku ingin memiliki cinta dari seorang kekasih? Salahkah aku? Sekarang aku hanya mampu terus cuba menguatkan hati ini. Hati yang hampir mati. Semoga kuat aku berdiri sendiri tanpa sesiapa.

Hati Perindu