Wednesday 4 May 2016

Halida

Jiwa aku menjadi kosong semula bila aku sedar satu lagi pintu sudah tertutup. Cahaya yang pernah menyinari ruang kamar hatiku menjadi gelap gelita. Aku sangka ada ruang untuk aku menumpang, rupanya ruang itu telah dipagar sekelilingnya.

Aku tidak menyalahkan kau, ataupun sesiapa. Mungkin aku yang lebih, aku fikir kau juga mula merasa apa yang aku rasa terhadap dirimu. Sekali lagi, perkara ini terjadi kepada diriku. Aku tidak perlu bertanya tentang sebab mahupun alasannya. Kerana aku tidak pernah temukan atau diberi jawapan pada soalan itu sebelum ini pada setiap kali aku menghadapi kegagalan seperti ini.

Kepercayaan aku akan sebabnya mudah, mungkin aku belum bersedia. Aku percaya suatu hari nanti, tuhan akan memberi yang lebih baik untuk aku. Atau mungkin dengan cara aku merelakan semua ini, kalau sudah ditetapkan dia jodoh untuk aku, pasti kami akan disatukan juga suatu hari nanti.

Pengalaman telah mengajar aku bahawa cinta itu tidak akan berlaku jika ia hanya bertepuk sebelah tangan. Cinta juga tidak boleh dipaksa, cinta lahir dari hati. Jika ada perasaan itu dari kedua belah pihak, maka cerahlah perjalanan bagi pasangan itu. Jika sebaliknya, maka pendeklah usia jodoh mereka.

Setelah beberapa kali aku mengalami situasi seperti ini, aku belajar supaya tidak mendesak untuk terus memikat hati si dia. Lebih lagi setelah aku mengungkapkan apa yang tersimpan di dalam hati ini. Aku cuba berfikiran positif.Bukannya cintaku ditolak, tetapi setelah dia bangkit dari cinta masa lalunya, dia hanya ingin masa untuk tumpukan pada diri sendiri dan keluarganya.

Aku perlu menghormati keputusannya itu. Maka kali ini, aku relakan hubungan kami tidak lebih dari hanya sebagai seorang kawan. Walaupun berat, walaupun payah untuk aku padamkan rasa sayang yang sudah mula berputik, harus aku mengajar diri aku untuk tidak melangkah keluar dari garisan itu. Dan tidak perlu untuk kau rasa bersalah, aku faham.

Biarlah aku begini, suatu hari nanti pasti aku dapat menerima semuanya. Biar aku berpedih hati hari ini. Esok, pasti ia akan pulih seperti semula. Terima kasih kerana telah membahagiakan aku meskipun buat seketika. Ya, aku bahagia bila bersama mu, bila berbual dengan mu sehinggalah aku tahu perkara yang sebenar.

Mujurlah aku berterus terang tentang hati ini dari awal, jika tidak, pasti aku akan lebih kecewa daripada kekecewaan hari ini. Semoga kau bahagia.

Hati Perindu