Monday 7 December 2015

Filofobia


“Fobia didefinisikan sebagai suatu perasaan takut pada sesuatu hal atau fenomena berlebihan. Hal ini akan berdampak pada emosi seseorang. Biasanya disebabkan kerana seseorang mengalami trauma masa lalu dan biasanya itu membekas didalam kesadarannya.” Itulah fobia.
“Filofobia pula adalah suatu perasaan takut untuk jatuh cinta ataupun perasaan takut untuk menjalin cinta. Lebih ringkas pengertiannya, filofobia ini adalah perasaan takut untuk bercinta. Perkara ini biasanya wujud ketika seseorang itu pernah dihadapkan dengan gejolak emosional yang berhubungan dengan cinta pada masa lalunya. Filofobia didefinisikan sebagai ketakutan abnormal. Ini disebabkan hal tersebut ini mempengaruhi kualiti hidup dan menjauhkan seseorang dari komitmen.”
Filofobia. Inilah sesuatu yang aku sedang mengalami. Mungkin ada tahap yang lebih serius, tetapi rasanya aku baru sahaja berada di peringkat awal. Aku baru sahaja menyedarinya baru-baru ini. Sedarku apabila aku mula perasan  bahawa segalanya sudah berubah. Aku menjadi takut bila aku berkenalan dengan seseorang yang tidak pernah aku kenali sebelum ini. Takut kerana serik sekiranya aku akan “TER”jatuh cinta sekali lagi.
Aku memang mudah terpengaruh dan aku tahu aku mudah jatuh cinta pada seseorang gadis. Mudah sahaja hati ini cair bila berhadapan dengan seorang gadis lebih lagi yang jenis lembut cara bertutur dan manis senyumannya. Mungkin kerana aku tidak mempunyai ramai kawan perempuan, kurang bergaul dengan mereka yang bernama wanita dan mungkin juga aku bergitu lemah kerana sudah terlalu lama bersendirian, sunyi.
Tetapi aku jenis yang setia setelah aku berjaya memikat hati dan perhatian seorang gadis yang juga berjaya mencairkan aku itu. Jadi cuba engkau menilainya sendiri. Sukar untuk aku menjelaskan, tetapi itulah aku. Namun ikhlas dan setianya hati ini tidak pernah dihargai. Cukuplah, kali ini, aku sudah serik mempunyai perasaan kecewa setelah dikhianati, ditinggalkan dan dihancurkan berulang kali.
Tetapi mengapa baru sekarang timbul perasaan ini? Kenapa tidak dari dulu? Aku tidak pasti jika filofobia ini sesuatu perkara yang positif atau sebaliknya.  Mungkin tidak elok untuk hati seseorang jika terlalu lama berhadapan dengan filofobia. Mungkin fobia itu akan menguasai diri ini sehingga mati hati ini dari menginginkan cinta. Tetapi kalau dari dulu lagi aku sudah mengalaminya, mungkin aku tidak perlu melalui semua derita yang telah mengecewakan hati ini. Mungkin juga aku tidak perlu membuang masa untuk memperbaiki keadaan dan situasi. Sekarang aku hanya boleh bergantung pada kekuatan diri sendiri. Hapus sudah kepercayaan aku kepada orang lain.
Aku yakin ini berpunca dari peristiwa lalu yang telah mengakibatkan terlahirnya perasaan ini dalam diri aku. Setiap kali terlintas difikiranku untuk menapak selangkah ke hadapan dalam sebuah hubungan, aku menjadi takut, fobia. Fobia dan takut kerana ragu-ragu untuk mempercayai apa yang aku rasakan, apa yang aku melihat dihadapanku dan apa yang dikatakan oleh seseorang. Ya, gadis ini berhijab. Cara perbualannya juga cukup untuk meyakinkan aku tentang kesopanan tingkah lakunya.
Terkenang aku pada seorang gadis yang amat aku cintai, tetapi tidak lagi setelah dirinya melukakan hatiku, hingga kini aku masih mencuba untuk merawat luka dihati. Seperti gadis yang aku ceritakan tadi, dia juga berhijab dan aku juga pernah terpedaya oleh kata-kata manisnya dan caranya yang langsung tidak aku jangka akan berubah sekelip mata menjadi seorang yang kejam.
Bukan niatku untuk menyamakan mereka dengannya tidak terlintas sama sekali walau sejenak. Namun pengalaman masa lalu telah membuat aku lebih berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga. Aku merasakan seperti ini bukanlah diriku yang sebelumnya, sebelum aku dikecewakan seteruk itu. Aku tidak pernah punya cara pemikiran seperti ini.
Bukannya kerana aku terdesak untuk memiliki cinta. Tetapi sekadar ingin berkongsi hidup yang selama ini aku menjalani seorang diri. Sunyi. Sepi. Aku inginkan seorang teman untuk berketawa dan menangis bersama. Menjalani suka dan duka bersama, untuk menyintai dan rasa dicintai.
Tetapi fobia kuat menguasai fikiranku bila memikirkannya. Takut kalau sejarah mungkin berulang. Mungkin benar apa yang pernah aku terbaca di laman sosial. “Orang yang mengejar cinta akan menerima nasib yang malang.” Perkara itu membuat aku semak semula berulang kali tentang keputusan aku. Patut ke aku ambil risiko ini dan memberi peluang buat diriku sekali lagi? Boleh ke aku percaya gadis ini? Patut ke aku teruskan mencari cinta? Patut ke?
Mungkin lebih baik kalau aku bersendirian buat sementara waktu ini untuk merawat luka yang seakan memakan seusia lamanya untuk menjadi kering. Luka yang hampir kering namun menjadi basah semula kerana peristiwa yang terjadi kira kira empat atau lima bulan yang lepas. Pantas masa berlalu, namun pedihnya luka ini seperti baru semalam terjadi.
Aku harus teruskan perjuangan untuk membina diri ini sebelum pintu hati ini aku bukakan semula. Sebelum aku membuat keputusan untuk mencari cinta. Ataupun mungkin aku harus berhenti mencari cinta dan biarlah takdir yang menentukan segalanya.

Oleh Hati Perindu.


No comments:

Post a Comment