Tuesday 26 December 2017

KELIRU

Semenjak kebelakangan ini, entah apa yang menguasai akal dan fikiranku. Hampir setiap malam aku berjaga hingga larut malam. Masa dihabiskan dengan memikirkan tentang perkara-perkara yang boleh dianggap remeh. Tetapi yang remeh itulah menjadi sesuatu yang lebih serius apabila dipanjangkan. Apa ertinya jikalau seringkali berulang fikiran tentang sesuatu hal? Aku semakin bingung. Terlalu banyak tanda tanya yang muncul dalam fikiranku. Aku cuba untuk mengikut rentak dan mengendahkan kemahuan diri ini. Aku tetap mencuba untuk kekal ceria seperti sebelum ini. Tetapi masih juga terasa sedikit kesedihan dan kekecewaan jauh di sudut hati ini. Entah apa sebabnya. Aku cuba membuang jauh segala mimpi-mimpi yang jelas tidak mungkin tercapai. Aku cuba berpijak atas bumi yang nyata. Aku cuba membuat segalanya seimbang, tetapi tetap juga aku begini. Aku sedar diri ini tidak sempurna. Apa lagi untuk mengharapkan sesuatu yang sempurna. Perasaan ini, kenapa? Mungkin aku bukanlah yang terbaik untuk menerima yang terbaik. Aku mula takut, aku mula keliru dengan perasaanku. Aku takut, takut untuk mengungkapkan perasaanku kerana khuatiri jikalau perasaan itu akan berubah suatu hari nanti dan sebenarnya aku sedang keliru dengan apa yang aku merasakan. Takut jikalau semua ini hanya permainan. Yang penting sekali, aku takut seandainya aku melukai hati seseorang yang benar-benar mencintai diri aku. Engkau tidak mungkin akan faham apa yang aku rasakan ini. Aku juga tidak faham mengapa aku jadi seperti ini. Mungkin aku hanya insan yang keliru.

Tuesday 7 November 2017

Kurang Jelas

Hanya satu hal yang jelas. Aku kehilangan diriku. Aku hilang arah tuju. Aku keliru dengan keadaan ini. Bukankah peranan engkau adalah untuk sentiasa berada disisi ini? Bukankah itu yang sepatutnya? Mungkin aku kurang bertolak ansur pada masa seharian yang terlalu singkat untuk diri engkau. Mungkin benar. Mungkin aku kurang faham dengan gaya hidup engkau. Bukan sekali atau dua kali malahan sudah tidak terkira lagi jumlahnya dimana kita terpaksa melalui semua ini. Aku tidak faham. Aku keliru dengan semua ini. Adakah aku yang harus mengalah dalam situasi begini? Soalnya sampai bila? Apakah aku kuat untuk melalui semuanya? Bagaimana jika suatu hari nanti semangatku runtuh, hatiku rapuh untuk meneruskan lagi? Apakah aku harus terus memperjuangkan sesuatu yang tiada penghabisan? Ya mungkin disini aku yang salah. Aku yang gagal untuk memahami. Adakah ini adil untuk diriku? Sudahlah aku harus mengalah, mengalah pula untuk sesuatu yang tidak berbalas. Bukannya aku tidak ikhlas, tetapi kerana hal sebeginilah tertimbulnya kemarahan dan perasaan kurang puas hati. Kerana hal sebeginilah kita bertegang urat antara sesama. Katalah apa saja yang engkau mahu. Aku tidak bertimbang rasa, hanya mementingkan diri, tidak matang. Katalah apa saja. Pada diri ini, aku telah cuba sedaya upaya untuk membahgiakan diri engkau. Tanpa meminta balasan. Hanya satu saja yang aku minta. Supaya engkau sentiasa ada untuk diri ini. Jika engkau tidak dapat menemani aku disaat aku memerlukan, apa guna adanya engkau dalam hidup ini? Jika aku harus menjalani hidup ini sendiri seperti selalu, apa gunanya kita terus bersama? Buat masa ini, aku masih lagi berfikir tentang hari esok. Berfikir tentang bertolak ansur. Jika aku mampu mengalah lagi, sampai bila? Dapatkah aku mengatasinya? Akankah ini berulang lagi?

Tuesday 1 August 2017

Adakah ini suatu kesilapan

Pernah aku merungut dan bersedih berpanjangan memikirkan soal mengapa cintaku ditolak berulang kali oleh mereka yang aku kasihi. Sering aku bertanya kepada diri ini mengapakah tidak seorang pun dari kalangan mereka yang dapat menerima aku. Aku tertanya tanya pada diri sendiri. Aku berdoa berkali kali supaya diketemukan dengan seseorang yang dapat menerima aku seadanya. Akhirnya, seorang insan melangkah masuk ke dalam hidupku. Seorang insan baru dalam hidupku yang belum pernah aku kenali sebelum ini. Hari pun berlalu, semakin lama, semakin rapat. Semakin lama, semakin percaya dan semakin dipercayai, semakin yakin. Dia sangat mencintaiku, aku dapat merasakan keikhlasan dari cinta dan kasih sayang yang dia curahkan kepada aku. Tetapi kali ini, situasinya seolah aku pula yang tidak dapat untuk terima dirinya. Aku mula mencuba menerimanya seadanya. Namun, fikiran ku sering lari dari kenyataan tentang wanita idamanku. Aku tahu aku tidak sempurna untuk mengharapkan yang sempurna. Apa yang harus aku lakukan? Pernah aku mengetengahkan soal-soal tentang ketidak puasan yang membelenggu diri ini dan kerana itu jugalah aku telah melukai hati dan perasaan orang yang menyangi aku. Adakah aku yang bersalah? Adakah salah aku dari awal lagi? Apakah aku seorang lelaki yang tidak waras yang hanya mementingkan diri sendiri? Tidakkah cukup kasih sayang yang aku curahkan untuk dirinya? Adakah aku menyayanginya atas sebab sebab yang salah? Adakah kesemuanya ini suatu kesilapan? Jikalau ini sesuatu kesilapan, apakah aku harus bertindak untuk mengakhirinya? Ataupun aku harus kembali untuk memperbaiki keadaan?

Saturday 8 July 2017

BUKAN AKU

Kalau pengorbanan yang kecil pun tidak mampu ditunaikan, apa lagi kalau suatu hari nanti harus berkorban demi sesuatu yang lebih besar? Hal ini membuat aku sedikit kecewa dan ragu-ragu tentang masa yang akan datang. Bukannya aku tidak mampu menerima apa adanya dan bukanlah sempurna yang aku inginkan, cukuplah seseorang yang cinta dan kasih pada diriku yang sudah lama keseorangan. Namun sebagai seorang manusia dan seorang lelaki, aku juga mempunyai kemahuan dan keinginan. Tetapi bukan yang seperti engkau sangkakan. Tidak, bukan itu. Ciri-ciri wanita idamanku. Dari segi rupa. Tipulah kalau aku tidak pandang dari segi rupa seseorang. Mungkin aku tidak layak memiliki apa yang aku mahu. Seperti janji yang aku lafaz pada diri ini. Janji yang masih lagi aku berpengang teguh sehingga hari ini. Jauh sekali niat di hatiku untuk mengkhianati, menyakiti, melukakan apalagi meninggalkan mana-mana insan yang aku cintai. Kalau sebelum ini aku tidak pernah menyakiti, biarlah selamanya aku jauh dari perkara itu. "Sekali aku sayang aku tidak akan melepaskan." Memang benar, di saat dan ketika ini aku sayang pada dia. Tetapi bagaimana kalau setelah aku melayan perasaan ini sehingga aku cinta mati padanya dan akhirnya aku sedari, bukan dia cinta yang aku cari selama ini? Mengapa baru hanya sekarang semua ini terlintas di fikiranku ini? Mungkin setelah aku sedari dia tidak sanggup bekorban walaupun demi cinta kita. Engkau seolah tidak mengambil peduli apa yang aku inginkan. Engkau seolah memaksa aku untuk terima semuanya. Engkau seperti tidak mampu mengalah. Ya. Aku mengaku silapku kerana meminta sesuatu yang luar dari keupayaanmu. Tetapi aku yakin aku mampu mengubah sesuatu. Sedikit demi sedikit aku mulai untuk menghancurkan hatinya tanpa aku sedari. Aku akui ada kalanya aku tidak sengaja. Tetapi apabila aku sedari dirinya murung dan bersedih risau kerana aku yang semakin berubah, aku mula berfikir. Adakah ini diriku yang dahulunya jauh berbeza dari hari ini? Inikah aku yang pernah bersumpah akan setia, akan menjaga dia yang aku sayang? Inikah aku? Aku tidak mahu jadi seperti ramai di luar sana yang hanya indah bicara dan bermanis kata. Memberi harapan palsu dan mempermainkan cinta. Itu bukanlah diriku.

Saturday 1 April 2017

Aku Sayang Dia

Terima kasih. Engkau telah kembalikan warna yang dahulunya pernah pudar. Hidupku kini kembali berwarna-warni di saat engkau meruntuhkan pagar yang pernah mengelilingi hati ini. Siapa sangka aku akan jatuh cinta pada dia. Terima kasih hati kerana memberi peluang sekali lagi untuk aku mencinta dan menerima cinta ini. Semoga kau kuat dan semoga dapat bertahan bersama ku. Telah lama kau menderita, kali ini akan aku bebaskan kau untuk merasa bahagia. Setelah sekian lama mencari, akhirnya aku dikirimkan seorang insan yang ikhlas dapat menerima aku apa adanya. Meskipun masih awal usia perkenalan ini, hubungan kami rapat dan mesra seperti sudah bertahun berkawan. Aku berdoa dan berharap dialah insan yang akan menemani aku sehingga ke akhirnya. Aku dapat merasakan dialah yang terbaik. Cukuplah aku disakiti, cukuplah sampai disini akhirnya penderitaanku. Aku ingin setia dan harap bergitu juga sebaliknya. Akan aku cuba memberikan segalanya, semuanya dan sesungguhnya. Tetapi, maafkanlah aku jika aku gagal menjadi yang terbaik untukmu. Maafkanlah jika nanti aku yang menyakitimu, sengaja mahupun tanpa aku sedari. Maafkanlah jika aku kurang memberi perhatian kepadamu di masa akan datang. Hari ini, memang aku sayang padamu. Mungkin esok, perasaan sayang terhadapmu akan berkurangan dan semakin pudar. Mungkin esok, aku tidak lagi kuat seperti hari ini. Mungkin esok, aku akan berubah. Jika keadaan yang paling aku risaukan ini mengambil alih dan menguasai diri ini, tolong ingatkan aku kembali tentang saat pertama aku berjanji padamu. Tolong ingatkan bertapa kasih dan sayangnya aku terhadap engkau saat pertama aku melafazkan kata-kata cinta padamu. Aku sayang dia.

Sunday 12 February 2017

Kehidupan telah mengajar aku, ada sesetengah diantara manusia bersikap serupa seperti ular. Mereka berbelit lidah dan berkata dusta. Berpura pura baik dihadapan kita, di belakang entah apa yang diperbualkan. Hari ini kata lain, esok katanya lain seperti ular yang bersalin kulit. Diariku.