Saturday 8 July 2017

BUKAN AKU

Kalau pengorbanan yang kecil pun tidak mampu ditunaikan, apa lagi kalau suatu hari nanti harus berkorban demi sesuatu yang lebih besar? Hal ini membuat aku sedikit kecewa dan ragu-ragu tentang masa yang akan datang. Bukannya aku tidak mampu menerima apa adanya dan bukanlah sempurna yang aku inginkan, cukuplah seseorang yang cinta dan kasih pada diriku yang sudah lama keseorangan. Namun sebagai seorang manusia dan seorang lelaki, aku juga mempunyai kemahuan dan keinginan. Tetapi bukan yang seperti engkau sangkakan. Tidak, bukan itu. Ciri-ciri wanita idamanku. Dari segi rupa. Tipulah kalau aku tidak pandang dari segi rupa seseorang. Mungkin aku tidak layak memiliki apa yang aku mahu. Seperti janji yang aku lafaz pada diri ini. Janji yang masih lagi aku berpengang teguh sehingga hari ini. Jauh sekali niat di hatiku untuk mengkhianati, menyakiti, melukakan apalagi meninggalkan mana-mana insan yang aku cintai. Kalau sebelum ini aku tidak pernah menyakiti, biarlah selamanya aku jauh dari perkara itu. "Sekali aku sayang aku tidak akan melepaskan." Memang benar, di saat dan ketika ini aku sayang pada dia. Tetapi bagaimana kalau setelah aku melayan perasaan ini sehingga aku cinta mati padanya dan akhirnya aku sedari, bukan dia cinta yang aku cari selama ini? Mengapa baru hanya sekarang semua ini terlintas di fikiranku ini? Mungkin setelah aku sedari dia tidak sanggup bekorban walaupun demi cinta kita. Engkau seolah tidak mengambil peduli apa yang aku inginkan. Engkau seolah memaksa aku untuk terima semuanya. Engkau seperti tidak mampu mengalah. Ya. Aku mengaku silapku kerana meminta sesuatu yang luar dari keupayaanmu. Tetapi aku yakin aku mampu mengubah sesuatu. Sedikit demi sedikit aku mulai untuk menghancurkan hatinya tanpa aku sedari. Aku akui ada kalanya aku tidak sengaja. Tetapi apabila aku sedari dirinya murung dan bersedih risau kerana aku yang semakin berubah, aku mula berfikir. Adakah ini diriku yang dahulunya jauh berbeza dari hari ini? Inikah aku yang pernah bersumpah akan setia, akan menjaga dia yang aku sayang? Inikah aku? Aku tidak mahu jadi seperti ramai di luar sana yang hanya indah bicara dan bermanis kata. Memberi harapan palsu dan mempermainkan cinta. Itu bukanlah diriku.