Sunday 11 September 2016

Budak Gemuk

Hari ini sudah hampir sebulan perjalanan aku dalam perkhidmatan negara (NS, national service). Aku diantara mereka yang tergolong dalam golongan mereka yang gemuk, pes BP. Kami diarahkan untuk mengurangkan berat badan untuk menjadi lebih sihat. Setiap hari kami akan melakukan senaman, tetapi lebih dari mereka yang lain. Sejauh ini aku baru mengurangkan sebanyak tujuh kilogram. Setiap hujung minggu aku akan kebingungan kerana tidak tahu apa yang harus aku makan. Apabila keluar bersama rakan-rakan, aku hanya mampu melihat mereka menjamu selera. Setidak-tidaknya hanya minum secawan atau segelas air. Sungguh payah untuk individu seperti aku yang sebelum ini sungguh gemar memakan. Namun aku cuba untuk mengawal keinginanku. Jujur, sedih bila kau inginkan sesuatu tetapi kau tahu itu hanya akan memudaratkan. Hanya mereka yang melalui situasi serupa seperti inilah yang akan mengerti apa yang aku maksudkan. Hari ini Hari Raya Haji, tetapi aku harus pulang ke tempat latihan petang nanti. Makanya semalam aku telah ke rumah nenekku. Nenekku telah memasak beberapa lauk dan lontong sempana hari raya haji. Setibanya di rumah nenekku, aku tersenyum melihat hidangan di atas meja. Sungguh gembira kerana bukannya selalu aku berpeluang untuk makan makanan seperti ini. Apabila semua sudah mengambil tempat masing-masing, kami pun mula menjamu selera. Dimulakan dengan beberapa keping lontong, aku menjamah sambal goreng, udang sambal dan rendang. Pada mulanya aku tersenyum sambil menjamu selera. Namun akhirnya senyumanku menjadi hambar bila terkenang. Aku terkenangkan sewaktu berada di pusat latihan sepanjang lima hari seminggu. Di sana, hidangan yang dihidangkan tawar hebeh dan tiada selera melihat, apalagi untuk dimakan. Hakikat itulah yang berjaya mencuit hatiku membuat airmataku ringan jatuh membasahi pipi. Aku mencuba menyembunyikan airmata itu dari kelihatan semua yang berada dikeliling meja makan. Namun aku sedar ayah mencuri lihat wajahku disaat terdengar esakan tangisan yang aku cuba sembunyikan. Namun dia mendiamkan diri. Semakin kuat aku cuba menahan, semakin deras airmata itu mengalir. Aku pun terus mengangkat kaki dan terus mencuci pinggan lalu memasuki tandas. Aku menangis mengenangkan nasibku, sedih. Sedih bila melihat hidangan yang hebat di atas meja namun aku hanya boleh memakan sedikit sahaja. Bukan untuk mengenyangkan, tapi hanya sekadar untuk merasa. Aku cuba menenangkan diri untuk berhenti dari menangis dan terus keluar dari tandas. Aku sedar untuk mencapai sesuatu, tentu harus ada pengorbanan. Inilah pengorbanan aku untuk mencapai matlamatku di penghujung enam bulan ini. Tidak semua yang ada dihadapan kita itu milik kita.