Thursday 11 February 2016

Lima Bulan

Alhamdulillah, aku bakal menamatkan zaman persekolahan tidak lama lagi. Akhirnya hampir tamat latihan bekerja (internship) di syarikat ini. Setelah lima bulan, esok merupakan hari terakhir aku disini. Terasa pantas sahaja masa berlalu apabila sampai kepenghujung walaupun pada mulanya, aku merasakan masa seolah tidak berganjak walau sesaat. Walaupun aku tidak berminat dalam bidang ini, demi segulung ijazah peringkat diploma, aku terpaksa untuk melalui semuanya.

Aku tahu meskipun bergitu, aku akan merindui saat-saat selama aku berada di sini. Aku tahu aku akan merindukan tempat ini walaupun pada mulanya aku tidak berapa suka berada di sini. Sepanjang lima bulan ini, banyak yang aku pelajari. Ada juga beberapa perkara yang membuatkan hatiku senang apabila aku mampu mengatasinya. Meskipun ia mungkin kelihatan mudah, bagiku ianya suatu pencapaian di sebuah tahap yang baru.

Dalam masa lima bulan ini, banyak yang aku gambarkan tidak kesampaian. Selama lima bulan ini juga, kehidupan ini aku jalani keseorangan. Tiada  yang ada disampingku untuk memberi  semangat dan selama lima bulan ini jugak mereka yang aku baru mengenali melangkah pergi jauh dari kehidupanku ini. Mereka yang di suatu ketika pernah menjadi pelita dalam kegelapan hidupku ini.

Dalam tempoh waktu ini, aku terus mencuba untuk mencantumkan semula hati telah hancur berderai. Aku cuba untuk terus kuat menjalani hidup ini dengan tabah meskipun tiada berdaya lagi aku menghadap segala dugaan yang menimpa aku selama ini. Terlalu indah rancangan aku bersamanya sebelum ini untuk menempuhi hidup ini bersama. Betapa ikhlasnya aku untuk terus disampingnya, aku berangan.

Aku angankan kita kekal sehingga aku menamatkan sekolah dan sehingga aku menghabiskan masa aku untuk perkhidmatan Negara dan kemudian bekerja. Aku berangan untuk terus bersamanya sehingga aku stabil dari segi kewangan dan meningkat usia. Namun apakan daya, tiada jodoh di antara kami. Dia memilih untuk melangkah pergi tanpa menjelaskan apa silap aku dan tanpa memberi aku peluang untuk menjelaskan. Aku relakan jua.

Namun setelah banyak sudah bulan yang berlalu, tidak dapat aku melupakan kenangan yang tercipta bersama walau sejenak. Berulangkali aku cuba namun setiap kali aku melihat disekelilingku, aku pasti akan terimbas kembali tentang dirinya yang telah banyak memberi impak kepada diri ini meskipun hadirnya dirinya hanya seketika dalam hidup aku.

Waktu sepanjang lima bulan ini cukup untuk aku merasakan kesunyian dalam hidup tanpa seorang teman. Setiap malam aku sendiri mengenangkan nasib diri. Setiap hari aku usahakan untuk menjadi manusia yang lebih kuat. Setiap hari aku mengharap agar akan ada yang datang untuk mewarnakan semula warna yang telah lama pudar dari kehidupan ini.

Tetapi sehingga hari ini, masih juga aku terus menanti. Tapi aku cuba menambah keceriaan pada diri meskipun ada terasa hambar dalam setiap senyuman dan setiap tawaanku itu.  Aku cuba menghanyutkan diri aku dalam keceriaan dan kegembiraan setiap hari. Namun arusnya akan membawaku semula ke tempat asal aku bermula.

Sekarang, tiba masanya untuk aku fokuskan diri pada masa depan. Namun aku sedikit gementar untuk menantikan peringkat seterusnya dalam kehidupan. Masih banyak lagi yang belum dapat aku rasakan dalam kehidupan ini. Masih belum tercapai lagi impian dan cita-cita ku. Peringkat hidup sebagai dewasa, entah apa yang akan aku lalui di peringkat itu.

Aku yakin rezeki dan jodoh untuk aku telah tersusun rapi oleh yang maha berkuasa lagi maha mengetahui. Akan aku menanti ketibaanmu suatu hari nanti.


Diari Hati Perindu

No comments:

Post a Comment