Wednesday 6 January 2016

Bayangan Tidak Serupa Realiti


Pernahkah  engkau merasakan hampa kerana sesuatu yang kau harapkan tidak seperti apa yang kau bayangkan? Salah siapakah bila apa yang kau bayangkan tidak seperti apa yang ada pada realiti? Mungkin silap aku kerana mempunyai harapan yang tinggi terhadap sesuatu. Tetapi rasanya seolah sudah terlambat untuk aku mengundur diri. Aku tidak biasa menyakiti hati dan perasaan orang lain. Aku jauh sekali tidak mahu memulakannya.

Aku tahu apa yang mereka akan rasa bila disakiti, dihancurkan hati berkali-kali dan akhirnya mati. Mati segala keinginan untuk bercinta lagi, mati segala perasaan dan mati juga hatinya untuk jatuh cinta lagi. Ia memakan masa untuk dihidupkan semula api yang sudah mati. Aku tahu, aku sudah dihadapkan dengan situasi itu berkali-kali. Justeru itu aku tidak mahu sesiapa terluka dalam keadaan itu lebih lagi kerana aku. Aku mula menyesal atas perbuatanku. Aku tidak sepatutnya mengenali dia dengan cara itu. Semua ini silap aku, tapi bagaimana lagi harus aku berhadapan dengannya lagi?

Aku seolah dapat meneka bahawa dia juga seperti aku yang sering terluka, sering dihadapkan dengan kata-kata tolak, sering disakiti dan sering bersendirian. Dia seorang yang baik tetapi cinta tidak boleh dipaksa. Sekarang baru aku mengerti mengapa aku ditolak oleh mereka yang pernah aku cuba untuk memikat hatinya. Aku tidak dapat menerima sesuatu yang aku tidak suka. Cuba bayangkan, jika engkau membeli sehelai baju yang kau langsung tidak meminati.

Tentu baju itu hanya disimpan dalam gerobok dan jarang sekali engkau akan memakainya. Engkau pasti tidak akan dapat memanfaatkannya dengan sepenuhnya. Jika sehelai baju itu mempunyai hati dan perasaan, tentu dia akan rasa dirinya diabaikan, tentu dia akan merasa sedih. Jadi atas alasan apa engkau membelinya dahulu? Kerana itu, sebelum semuanya terlambat dan semakin rumit, lebih baik aku jarakkan diri aku sedikit demi sedikit.


 Aku tidak mahu memberikan harapan.
Jauh sekali untuk menyakiti hatimu.
Maafkan aku.


Diari hati perindu

No comments:

Post a Comment