Saturday 11 June 2016

Penerimaan


Seringkali aku terjebak dalam cinta yang tidak berbalas. Aku tertanya-tanya, adakah aku yang terlalu mudah untuk jantuh cinta? Adakah aku menjadi seperti itu kerana kesunyian sendirian selama ini? Adakah itu semua salah aku sendiri? Terlalu banyak pertanyaan bermain di mindaku ini setiap kali aku mula berfikir tentangnya.

Acapkali aku bertanya kepada diriku, mengapa aku tidak diterima oleh pihak sebelah. Mungkinkah aku terlalu membosankan? Mungkinkah kerana tiada yang menarik yang ada pada diriku? Mungkin dari segi rupa? Aku selalu berusaha untuk memberi yang terbaik, aku tidak pernah jemu memujuk walaupun pihak sebelah seolah tidak ambil peduli akan usahaku itu.

Orang kata, kalau kami benar benar mahukan sesuatu, kami tidak boleh sesekali berputus asa. Aku cuba dan terus mencuba. Aku mencuba mencari kekuatan dan keberanian untuk meluahkan hati dan perasaan. Sampai waktunya, setelah banyak masa yang kami luangkan bersama, akhirnya aku ditolak dengan kata kata "aku hanya anggap kau sebagai kawan".

Hati sesiapa pun akan runtuh, hancur berkecai, musnah. Aku cuba belajar dari kesilapan, namun ia telah terjadi berkali-kali. Aku cuba bersangka baik walau aku sudah dapat meneka pada akhirnya akan serupa seperti cinta masa lalu yang tidak dibalas. Setiap kali aku bangkit daripada kegagalan, aku cuba menjadi kuat sendirian. Namun kesunyian kuat mencengkam hati ini.

Mungkin suatu hari nanti akan ada insan yang boleh menerima aku sepertimana aku menerima dirinya. Mencintai aku sepertimana aku mencintainya. Merindui sepertimana aku merinduinya. Mungkin nanti aku akan temukan sekeping hati yang serupa seperti hatiku.

Salahkah aku mengimpikan kebahagiaan seperti mereka yang lain? Salahkah aku ingin memiliki cinta dari seorang kekasih? Salahkah aku? Sekarang aku hanya mampu terus cuba menguatkan hati ini. Hati yang hampir mati. Semoga kuat aku berdiri sendiri tanpa sesiapa.

Hati Perindu

No comments:

Post a Comment