Wednesday 3 February 2016

Aku Terus Cuba Kuat

Entah mengapa sejak beberapa hari ini, aku rasa gelisah. Terasa kesunyian yang  semakin kuat mencengkam hati ini hari demi hari. Entah mengapa, entah apa silapku. Aku sendiri tidak dapat memahami keadaan diriku sendiri di saat ini. Aku telah cuba untuk sentiasa membuat diri ini sibuk dengan melakukan tugasan, menonton filem, mendengar lagu, luangkan masa bersama kawan-kawan hingga lewat malam ada kalanya sampai ke pagi aku bermain gitar , malayari internet dan meluangkan masa menunggang motorsikalku kesana dan kemari. 

Aku cuba semuanya. Tetapi masih juga aku rasa serabut dengan fikiran ini. Hatiku terasa sunyi. Ingin sekali aku meluahkannya kepada seseorang. Tetapi, aku tidak mahu menyusahkan sesiapa dengan masalah diriku ini. Mungkin juga mereka akan jemu mendengarkan masalahku. Masalahku yang berulankali berpuncanya dari perkara yang sama. Aku pendamkan semuanya dalam hati yang semakin hari semakin layu dan semakin pudar harapan untuk kembali seperti semula.

Setujukah engkau bila aku berkata, tiada sesiapa yang mampu bertahan untuk menanggung semuanya dan menjalani hidup ini sendirian. Sampai satu tahap pasti engkau akan merasa sama seperti aku, layu, kosong. Sampai satu tahap pasti engkau perlu untuk meluahkan segalanya pada seseorang. Tapi siapa? Siapa yang sudi untuk mendengar rintihan hati ini? Puas aku menanggung semua sendirian. Aku hanya inginkan seorang teman untuk berbual, untuk aku kongsikan masalahku. 

Tetapi aku tiada sesiapa untuk aku meluahkannya. Semua sahabatku sibuk dengan rutin harian masing-masing. Jika aku menceritakan tentang apa yang sedang hadapi, belum tentu mereka dapat menolong aku. Entahlah, aku juga keliru dengan diriku sendiri. Mungkin aku hanya inginkan perhatian, mungkin aku ingin merasakan diri ini disayang.
Inilah perasaan yang ingin aku jauhkan. Jauh sekali aku mahukan diri ini terus terbelenggu dengan perasaan sedemikian. 

Aku mahu menjadi kuat untuk menempuh semuanya sendiri tanpa mengharapkan apa-apa dari sesiapa pun. Namun, aku masih juga lemah, lemah untuk terus kuat hidup tanpa adanya cinta. Telah berkali-kali aku mencuba untuk bina dan terus membina diri ini. Aku cuba untuk menyayangi diriku sendiri kerana ada sahabat yang pernah menasihati diri ini,

“Tolong diri sendiri sebelum membantu orang lain. Kalau kau tak sayang diri kau, macam mana kau nak sayang orang lain? Kalau kau tak boleh jaga hati kau, macam mana kau nak jaga hati orang lain? Kau kene kuat, bila kau kuat, tak kiralah apa atau sesiapa sekalipun yang nantinya akan datang untuk menyakiti kau, kau takkan seperti ini lagi. Kau tentu mampu menghadapi semuanya.”

Aku cuba, aku cuba dan terus mencuba, tapi tetap juga aku gagal. Kenapa? Payah yang amat sungguh untuk menjalankan tanggungjawab keatas diri sendiri. Mengapa sukar untuk aku meneruskan? Aku hampir sahaja berjaya untuk meyakinkan diriku ini untuk melupakan segalanya, aku hampir saja menjadi lebih baik dari aku yang sebelumnya tetapi setelah segala apa yang berlaku dan setelah melihat mereka semula, semua kenangan tentang mereka kembali menghantui ruang minda ini dan kesakitan, keperitan menjalani sewaktu aku ditinggalkan. 

Atas sebab sebab tertentu, itu yang membuat aku kembali kepada aku yang sebelumnya. Aku mula berfikir melampaui batas yang sewajarnya. Keterlaluan, aku berfikir tentangnya hampir setiap malam, hampir setiap saat di kala aku dibiarkan untuk bersendirian, setiap kali aku nampak sepasangan kekasih, aku akan teringat kenangan tentang kita.Di saat ini, apa yang aku inginkan hanyalah untuk berdiri kuat dengan kedua kaki ini. 

Aku mahu berdikari, aku mahu kuat menjalani setiap hari semula penuh dengan keceriaan yang terlahir dari diri aku sendiri. Bukan dengan kemuraman yang aku sembunyikan sekian lama dan menampilkan diri aku yang palsu dengan keceriaan. Kononnya aku bahagia sedangkan pada hakikatnya hatiku remuk, jiwaku tersiksa dan masih lagi dibelenggu dengan perasaan yang aku ingin jauh sekali dari diri aku. Impian aku adalah untuk bahagia suatu hari nanti. 

Aku terpaksa merelakan diriku terus bergini sampai tiba waktunya pasti kebahagiaan akan menjadi milikku.

Diari Hati Perindu 

No comments:

Post a Comment