Monday 4 January 2016

Kelmarin

Kelmarin pada hari jadiku aku kembali ke tempat pertama kita kunjungi di awal pertemuan kita dahulu. Tujuanku ke sana adalah untuk mengambil angin di tepi pantai sambil melihat keindahnya dan menenangkan fikiran. Itu sememangnya tempat yang terjauh dahulu menjadi pilihanku untuk meluangkan masa bila dalam kesedihan mahupun dalam keadaan bermasalah. Aku rindukan tempat itu dan rasakan keperluan untuk meluangkan masa aku disitu pada hari itu.

Sudah menjadi suatu rutin untuk aku menuju ke situ hanya untuk duduk dan menenangkan fikiran di kala akal dan fikiran ku kusut, berserabut, buntu, sedih.  Tapi setelah aku membawa kau bersama aku ke tempat yang bermakna ini, segalanya berubah. Berubah setelah engkau pergi. Bukannya aku tidak dapat melupakan semuanya, tetapi inilah tempat aku meluangkan masa untuk mencari ketenangan. Tidak sangka pula di sini jugalah terkubur dan terpahatnya nisan kenangan kita setelah engkau pergi.

Bila aku melihat tempat ini, apa yang tinggal hanyalah kenangan. Kenangan pahit tentang engkau, tentang apa yang berlaku antara kita. Tempat ini sudah berbeza, dari sebelumnya. Sambil aku menikmati ketenangan, terimbas semula kenangan bersamamu. Sebahagian kenangan manis, namun lebih mengingatkan kepada kenangan pahit yang mengisi ruang sepenuhnya.

Aku teringat tentang rancangan untuk menyabut hari lahir kami bersama memandangkan kami dilahirkan pada bulan yang sama. Jaraknya pula seminggu lebih antara hari lahir kami. Engkau pernah berkata akan membawa aku ke suatu tempat namun engkau merahsiakan dan hingga ke hari ini aku masih lagi tertanya-tanya tentang tempat itu. Tentu istimewa sehingga engkau langsung tidak mahu berkongsi. Atau mungkin aku sahaja yang tidak cukup istimewa pada engkau di waktu itu. Tidak hairanlah kerana kini semuanya sudah jelas.

Aku cuba melupakan segala kenangan tentangmu.  Lalu aku duduk dan melihat ke arah kapal-kapal di tengah lautan, melihat burung-burung yang menerbangi bebas di ruang langit dengan berlatar belakangkan suara ombak yang memukul pantai aku menikmati segala keindah alam ini sambil menghirup secawan kopi yang dibeli di sebuah kedai berdekatan. Aku rasa tenang buat seketika, seperti aku dapat lari dari realiti biarpun buat seketika. Walau apa yang berlaku masih jelas dalam ingatan, aku teruskan usahaku untuk terus kuat menghadapi dan menerima semuanya.

Setelah sudah hampir satu jam aku di situ, aku pun melangkah pergi setelah matahari terbenam. Langkah demi langkah aku menuju ke motorsikalku yang menjadi teman setiaku. Setiap hembusan nafasku ketika melangkah terasa berat untuk meninggalkan tempat itu. Bila tiba sahaja di motorsikalku, aku terhenti, aku mula emosi. Namun aku menahan segala perasaan dan terus menghidupkan enjin lalu beredar dari tempat itu.


Hidup tidak menjanjikan semua akan mudah dan berjalan seperti dirancang.
Hidup juga tidak pernah menjanjikan bahagia.


Diari Hati Perindu

No comments:

Post a Comment