Monday 11 January 2016

Musik Adalah Cara Hidupku


“Musik adalah cara hidup. Tiada makna sebuah hidup itu tanpa adanya musik.” Aku setuju dengan kata pepatah itu. Musik telah memainkan peranan besar dalam setiap keadaan hidupku, dalam setiap situasi yang aku lalui. Berbagai nada dan alunan musik dalam sebuah lagu yang dapat menggambarkan berbagai situasi yang sewaktu dengan perasaan dan keadaan yang aku lalui. Musik dapat mengubati luka di hati, dapat juga mengubah perasaan muram menjadi ceria biarpun buat seketika.

Dengan musik, akal dan fikiranku dilarikan dari realiti, aku seolah dibawa bersama  lagu itu kepada suatu kehidupan sebagai orang yang berlainan. Tidak akan sehari pun hidupku berlalu tanpa musik. Bukan sahaja mendengar, aku juga bermain alat musik di waktu lapang. Ada juga beberapa karya yang aku tuliskan menjadi sebuah lagu, tetapi hanya untuk dimainkan diwaktu lapang. Kata orang syiok sendiri. Tidak pernah lagu ciptaan aku didengari oleh sesiapa pun.

Setiap lagu yang menjadi lagu kegemaranku mempunyai makna disebaliknya. Ada juga lagu yang mengembalikan kenangan pahit buat diri ini. Kenangan yang hadir dalam lagu itu tidak dapat aku lupakan. Kerana setiap kali lagu itu dimainkan di corong radio, ingatanku tentangnya dikembalikan semula.  Namun dengan lagu juga aku meluahkan perasaan.

Minatku lebih kepada lagu-lagu melayu. Lebih lagi lagu yang akan menyentuh hati dan mungkin membuatkan aku menitiskan airmata. Lagu jenis bergini biasanya orang kata lagu jiwang. Mungkin juga kerana citarasa ku yang sebeginilah yang membuat aku menjadi seperti aku yang sekarang. Daripada lagu, Hingga terbawa-bawa ke dalam kehidupan hari-hari. Kalau waktu sekolah rendah aku gemar lagu slow rock. Aku sedari dulu aku pon slow macam lagu lagu tu. Lawak kan? Hahaha.

Perlahan-lahan aku mula berjinak-jinak dengan lagu yang bernada dan berirama lebih keras. Seperti lagu rock, metal yang jenis terpekik terlolong. Lagu jenis ni membuat aku merasakan tenaga yang ada pada darah muda yang sedang mengalir dalam tubuh aku. Baru-baru ini pula, aku mula mendengar lagu lagu skinhead. 

Aku tertarik pada budaya skinhead yang sering disentuh dalam lagu-lagu yang mereka laungkan. Tenaga yang ada dalam setiap lagu-lagu mereka, sungguh aggressive, sesuai rasanya bila mendengar ketika marah. Lagu-lagu skinhead juga banyak menyentuh tentang hidup dan isu-isu kejadian di dunia. Namun minat aku pada lagu lain tidak serupa minat ku pada lagu-lagu jiwang. Aku tidak pernah jelak mendengar lagu-lagu jiwang.

Dengan lagu, aku meluahkan segala perasaan yang terkunci dalam hati ini secara tidak langsung  kepada seseorang kerana terlalu berat untuk mulut berkata-kata. Dengan itu, tersimpan harapan agar lagu itu didengari dan difahami oleh dia yang aku maksudkan. Tetapi biasanya orang tetap tidak faham. Aku sahaja yang bertepuk sebelah tangan. Dan dengan lagu juga aku menyejukkan hati yang sedang membara. Dengan lagu juga aku meredakan airmata yang ringan jatuh membasahi pipi. Musik adalah segalanya bagiku.


Diari Hati Perindu


No comments:

Post a Comment